Tinggal dua hari lagi, kita akan meninggalkan takwim hijriyyah 1433. Zulhijah adalah bulan yang ke-12 dalam tahun tersebut. Ia bukan sahaja bulan terakhir buat umat Islam, malah di dalamnya juga terdapat lakaran sejarah yang amat penting iaitu kefardhuan ibadat haji sebagai amalan terakhir daripada rukun Islam, penutup segala rukun Islam yang lima. Memang tepat sekali iaitu bulan terakhir dan rukun terakhir.
Apa yang perlu kita perhalusi daripada amalan setahun di bulan-bulan hijriyyah ialah, sejauh mana amalan yang telah kita lakukan untuk perkembangan Islam. Apakah iman yang ada pada diri kita masih kekal dengan akidah yang dibawa oleh baginda Nabi Muhammad s.a.w., apakah sumbangan yang telah kita berikan untuk kemajuan Islam, khususnya memperdalami peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang tahun hijriyyah dan pelbagai soalan lain yang ada kaitan dengan bulan-bulan hijriyyah.
Perkara penting yang perlu diberi perhatian, ialah bagaimana kita ‘mengaudit’ iman dan akidah kita dalam setahun, kerana sesungguhnya iman bukan satu perkara yang boleh diungkapkan oleh seseorang individu Muslim dengan tidak ada tujuan yang jelas. Atau dengan kata lain ia boleh diangan-angankan oleh seseorang itu, sepertimana yang ditegaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Iman bukanlah perkara yang boleh diangan-angankan, tetapi iman itu ialah apa yang ada dalam diri (Muslim/Muslimat) dan dibuktikan dengan amalan.”
Justeru, setiap daripada individu Muslim, baik lelaki mahupun perempuan perlu melihat semula atau apa yang dinamakan dengan ‘check and balance’ terhadap iman serta akidah tauhid dengan mentajdidkannya agar sentiasa segar dengan ilmu-ilmu fardhu ain dan beramal atas dasar kebenaran, lebih-lebih lagi persoalan kerohanian/dalaman mereka yang terkadang-kadang terdapat fenomena yang menjauhkannya daripada Allah SWT.
Dalam kesempatan yang terbatas ini, kita cuba melihat beberapa langkah yang boleh kita jadikan batu loncatan untuk mentajdidkan iman akan sentiasa segar dan berfungsi bagi menyelamatkannya dari terus dirundung malang. Kita kena jelas dalam persoalan iman dan akidah agar tidak tersirat sesuatu yang boleh disifatkan sebagai syirik tersembunyi.
Langkah Pertama: kita dapat merasakan bahawa Allah SWT gembira kepada sesiapa yang menerimanya sebagai Tuhannya yang Maha Agung lagi Benar dalam segenap tindakanNya. Sesungguhnya Allah SWT sama sekali tidak pernah menutup pintu rahmat, keampunan kepada hamba-hamba-Nya, tetapi merekalah yang menutup pintu hati mereka kepada Allah SWT. Allah berfirman dalam satu hadith Qudsi maksudnya: “Sesungguhnya Aku tidak berwasangka kepada hamba-Ku, Aku sentiasa bersama-nya jika dia mengingati-Ku, jika dia mengingati-Ku, maka sesungguhnya dia mengingati dirinya sendiri, jika dia mengingati-Ku dalam keadaan sibuk, maka Aku juga akan mengingatinya, maka jika dia mendekatkan dirinya sehasta kepada-Ku, maka Aku juga begitu, jika dia melakukan itu sedepa untuk mengingati-Ku, maka Aku juga akan mengingatinya sedepa, jika dia datang kepada-Ku dalam keadaan berjalan, maka Aku akan datang kepadanya dalam keadaan berlari.” (Hadith Sohih riwayat Imam Bukhari).
Langkah Kedua: Jika sesuatu musibah itu ditimpakan keatas kita disebabkan kelalaian yang kita sendiri lakukan, maka janganlah terus melakukan kesalahan yang mengakibatkan dosa, kerana Allah SWT ada menegaskan dalam ayat 165 surah Ali ‘Imran maksudnya:
“Dan mengapa ketika kamu ditimpa musibah (pada peperangan Uhud), padahal kamu telah menimpakan kekalahan dua kali ganda kepada musuh-musuh kamu (pada peperangan Badar) kamu berkata: “dari mana datangnya (kekalahan ini)?. Katakanlah, itu daripada kesalahan kamu sendiri. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.”
Langkah Ketiga: Hendaklah kita sentiasa berusaha untuk tidak lagi terlibat dalam melakukan dosa-dosa sama sekali, malah kita sentiasa berada dalam keadaan waspada daripada terjebak dalam perkara tersebut, kerana kesalahan daripada dosa-dosa itu akan merumitkan lagi persoalan iman dalam diri kita, apa yang dituntut daripada diri kita masing-masing, perbaharuilah iman, tajdidkannya dengan sungguh-sungguh agar kita tidak kecewa di sana nanti. Allah berfirman menerusi ayat 23 surah al-Hadid maksudnya: “(Kami jelaskan yang demikian itu), supaya kamu jangan berduka cita terhadap apa yang luput dari diri kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira (yang melampaui batas) terhadap apa yang diberikan-Nya kepada kamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membangga diri.”
Langkah Keempat: Apa yang perlu kita ketahui sedalam-dalamnya, bahawa dosa-dosa yang dilakukan jika tidak dibersihkan segera dengan amal-amal yang soleh serta mendapatkan keampunan daripada Allah, ia dibimbangi akan menyusahkan pelakunya pada hari kiamatdengan dimasukkan dalam neraka, Wal ‘Iyazubillah, ia berpandukan kepada firman Allah menerusi ayat 81 surah al-Baqarah maksudnya: “(Bukan demikian), yang benar sesiapa yang berbuat dosa dan dia sebenarnya telah dikuasai oleh dosanya, mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.”
Langkah Kelima: Kita sebagai manusia memang tidak sepi daripada terdedah kepada dosa, kekurangan dan kesalahan, kerana yang sempurna hanya Allah SWT, justeru kita amat perlu kepada bantuan dan pertolongan-Nya, perlu juga kita ketahuinya sekadar mana kekuatan yang ada pada diri kita untuk melakukan perubahan, sabda baginda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sesungguhnya nyawaku di tangan Allah, jika kamu tidak melakukan dosa, pasti Allah akan hilangkannya dari diri kamu, jika datang satu kaum yang berdosa dan memohon keampunan daripada-Nya, pasti dia akan ampunkan mereka.” (Hadith Sahih riwayat Imam Muslim)
Langkah Keenam: Sebenarnya kita sekarang ini sedang menuju ke jalan Allah, kita tidak ada pilihan melainkan dengan salah satu cara untuk sampai kepada pembersihan dan ketinggian rohani kita, sama ada kita bersegera melakukan taubat dengan mengemukan segala permohonan kepada Allah ataupun melengah-lengahkannya, perkara ini ditegaskan Allah menerusi ayat 37 surah al-Muddatthir: “Iaitu bagi siapa di antara kamu yang berkehendak segera atau lambat.”
Apa yang perlu kita lakukan untuk membuktikan bahawa kita adalah makhluk yang serba kerdil di hadapan Allah SWT, ialah dengan memelihara segala amal-amal fardhu dan memperbanyakkan perkara sunat, membaca al-Quran, menghadiri pengajian ilmu-ilmu fardhu ‘ain, banyak berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w., berzikir, beristighfar, ia sebagai tanda untuk kita terus menyatakan kesungguhan kita melakukan perubahan diri.
Masa akan menjadi singkat. “Daripada Anas bin Malik r.a. berkata: “Rasulullah s.a.w. bersabda; “Tidak akan terjadi qiamat sehingga masa menjadi singkat, maka setahun dirasakan seperti sebulan dan sebulan dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu petikan api.” (H.R. Tirmizi)
Masa akan berlalu begitu cepat. Belum sempat berbuat sesuatu, tiba-tiba masa sudah terlalu larut, sehingga banyak perkara yang belum dapat diselesaikan. Kita seakan-akan sibuk, tetapi kita tidak faham apa yang disibukkan. Kita diburu masa dan ia berlalu dengan tiada ada perkara yang dapat kita selesaikan. Inilah yang dimaksudkan dengan singkatnya masa.
Menurut Imam al-Karmani, yang dimaksudkan dengan singkatnya masa itu ialah dicabut keberkatan daripadanya. Memang benar apa yang dikatakan oleh Imam al-Karmani itu, dahulunya kita merasakan dalam sehari banyak perkara yang dapat kita laksanakan, tetapi sekarang dalam sehari yang sama hanya sedikit perkara-perkara yang dapat kita laksanakan. Ini adalah satu petanda hampirnya qiamat.
Nabi s.a.w. bersabda: Dua nikmat yang selalu diabaikan oleh ramai manusia iaitu kesihatan dan masa lapang. Masa dalam kehidupan seorang Muslim sangat penting. Ia lebih penting daripada wang ringgit.
Oleh itu setiap waktu dalam kehidupan Muslim sentiasa dikaitkan dengan ganjaran jika dilaksanakan amalan tertentu. Waktu fajar umpamanya dikaitkan dengan dua rakaat solat sunat yang lebih baik dari nilai dunia dan isinya. Waktu tengah malam pula ialah saat afdhalnya munajat kepada Allah SWT. Ingatlah, apabila masuk waktu solat hendaklah tinggal sekejap urusan dunia kita bagi mendirikan solat diawal waktu. Bukankah solat diawal waktu lebih afdhal dan lebih baik. Mudah-mudahan situasi dan Plant tempat kerja kita mendapat berkat dan selamat dari Allah SWT. Jauh daripada mala petaka dan kemalangan yang tidak kita ingini.
Masa sepatutnya digunakan sebaiknya kerana ia sesuatu yang tidak dapat dikembalikan semula. Masa muda tidak dapat dikembalikan. Begitulah juga masa sihat dan masa lapang tiada siapa yang boleh mengembalikannya. Nabi s.a.w. bersabda: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa muda sebelum tua, masa sihat sebelum sakit, masa lapang sebelum sibuk, masa senang sebelum susah dan masa hidup sebelum tiba masa mati.”
Sebagai contoh masa muda, ia adalah saat tubuh badan masih kuat dan fikiran masih segar, maka gunakanlah ia untuk melaksanakan ibadah dan menuntut ilmu. Bukannya digunakan untuk berseronok atau hanya berhibur seperti mana yang banyak berlaku hari ini.
Kerana apabila sudah tua pastinya pergerakan semakin perlahan dan kebolehan menuntut ilmu semakin lemah.
Nabi s.a.w. bersabda: “Barang siapa yang sama dua harinya maka ia adalah orang yang rugi, dan barang siapa yang semalamnya lebih baik dari hari ini maka ia adalah orang yang ternafi dari kebaikan, dan barang siapa yang tiada peningkatan maka ia akan sentiasa berkurang, maka barang siapa sentiasa berkurang maka perut bumi lebih baik baginya daripada permukaannya (lebih baik mati sahaja).
Di saat menghadapi kedatangan tahun baru Hijrah ini sepatutnya kita melakukan muhasabah diri tentang sejauh manakah pencapaian kita sama ada dari sudut ibadah mahupun dari sudut ilmu pengetahuan. Bukannya terjerumus di dalam aktiviti-aktiviti hiburan dan pesta yang melalaikan yang seolah-olah sudah menjadi satu budaya di dalam masyarakat kita. Berkata Saidina Umar bin Al-Khattab r.a: “Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab oleh Allah di akhirat kelak.”
Satu perkara yang perlu disedari oleh setiap Muslim ialah setahun yang berlalu bererti setahun pula umurnya telah bertambah. Semakin bertambah bilangan tahun yang berlalu pergi, semakin sedikit pula sisa-siasa hidupnya yang masih tertinggal. Apabila umur seseorang Muslim telah pun tamat, maka ajal maut pun akan datang menjemputnya. Pada ketika itu, tidak ada lagi peluang ke sekian kalinya untuk seseorang Muslim mengumpul bekalan yang akan dibawa menghadap Allah kelak. Firman Allah swt yang bermaksud: “Dan carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu ialah bertaqwa kepada Allah swt.” (Al-Baqarah :197)
Marilah kita merenung firman Allah SWT yang bermaksud:
“Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah
antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan
para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keridhaanNya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.”
(Al-Hadiid : 20)
Firman Allah SWT: “Sesungguhnya kehidupan dunia hanyalah permainan dan senda gurau. Dan jika kamu beriman serta bertaqwa, Allah akan memberikan pahala kepadamu dan Dia tidak akan meminta hartamu.” (Muhammad :36)
Oleh itu, setiap Muslim seharusnya menginsafi diri semasa menjalani kehidupan dunia yang sementara ini dan jangan membazirkan waktu berharga dengan sia-sia. Ingatlah bahawa sehari yang terbuang bermakna kita telah membuang masa, umur, peluang untuk mendapat mata pencarian, malahan bekalan akhirat yang berharga.
Sikap membuang masa seharian dengan berfoya-foya, bersuka ria, melepak dan berseronok tanpa mendatangkan hasil yang bermanfaat bererti suatu penderhakaan terhadap nikmat masa yang dikurniakan Allah swt.
Masa itu adalah asset yang sangat bernilai, seperti kata Saidina Ali bin Abi Talib: “Sesiapa yang menghabiskan masa hariannya tanpa ada hak yang dilaksanakannya, tanpa ada kewajipan yang ditunaikan, tanpa ada kemuliaan yang dibinanya, tanpa ada kepujian yang diperolehnya, tanpa ada kebajikan yang dilakukannya, tanpa ada ilmu yang dipetiknya, maka sesungguhnya dia telah menderhaka masa hariannya itu.”
Sabda Rasulullah s.a.w. kepada Abdullah bin Umar: “Apabila engkau bangun pagi, janganlah tunggu hingga ke petang, dan apabila engkau berada di waktu petang, janganlah tunggu waktu pagi, sediakanlah bekal hidupmu dari sekarang untuk matimu kemudian hari, dan ambillah kesempatan masa sihatmu sekarang untuk masa sakitmu nanti.”
Empat perkara utama yang perlu dijaga untuk memastikan hati sentiasa sihat ialah menjaga amal ibadat, sibuk mencari ilmu, berkawan dengan orang yang boleh memberi bimbingan serta banyak berdoa kepada Allah swt. Jika solat lima waktu tidak dijaga ia menyebabkan hati jauh daripada mengingati Allah. Kita perlu sentiasa mengingatkan anak-anak supaya tidak sesekali meninggalkan solat. Begitu juga dengan tuntutan mencari ilmu, ia penting kerana amalan yang dilakukan dengan ilmu itu mempunyai kualiti dalam memastikan hati terdorong melakukan kebaikan. Berdoalah kepada Allah untuk apa saja permintaan dan hajat kita kerana ia senjata orang mukmin selain memohon taubat supaya dosa-dosa lalu diampunkan Allah swt.
Firman Allah SWT: “Dan mohonlah ampunan kepada Allah SWT ; Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang (Al-Muzzammil :20)
Firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al-Baqarah :218)
Firman Allah SWT: “Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik.” (Al-A’raaf:56)
Firman Allah SWT: “Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatannya.”
(Al-A’raaf: 96)
Firman Allah SWT: “Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari seksa neraka.” (Al-Baqarah :201)
Firman Allah SWT: “Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan, sekiranya kamu tidak mengetahui.” (An-Nahl :43)
Saya memohon maaf sekiranya peringatan yang tidak teratur dan tersusun ini dan semoga akan memberi sedikit manfaat kepada kita yang serba kelemahan dan kekurangan demi sama-sama beramal untuk diri, isteri dan anak-anak kita. Firman Allah swt yang bermaksud: “Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang-orang Mukmin.” (Az-Dzariat : 55)
Semoga kita dapat membaca Al-Quran dan dapat mengambil pengajaran daripada terjemahan atau pengertian serta tafsir Al-Quran setiap masa. Semoga kita dapat memahami dan meneliti bagi mempertingkatkan lagi keseluruhan kefahaman Islam di dalam kehidupan kita.
Mudah-mudahan kita termasuk di dalam golongan orang-orang yang mahu kembali kepada kebenaran dan mendapat kejayaan cemerlang di dunia dan juga di akhirat. Amin!
“Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1434”
Kredit: Haji Rayah Mohd
Nak duit lebih? Jom jana pendapatan. KLIK SINI