17 December 2009

Salam Hijrah



Download Lagu Di Sini


KHALIFAH UMAR TETAPKAN TAHUN BARU ISLAM


Khalifah Umar Al-Khattab adalah orang bertanggungjawab menetap dan memilih sebutan atau gelaran hijrah ini. Ia dipilih selepas ditimbang dari pelbagai sudut.

Saidina Umar membuat ketetapan permulaan hijrah atas syor Saidina Ali Abi Thalib yang mencadangkan ia dimulakan daripada hijrah Nabi Muhammad saw dari Makkah ke Madinah dan tidak dari tarikh Baginda lahir atau wafat.

Sesungguhnya, pilihan dan penetapan ini paling tepat dalam menjadikan peristiwa hijrah sebagai titik tolak kalendar umat Islam.

Dari sudut bahasa, hijrah bermaksud berpindah dari satu tempat ke satu tempat atau berubah dari satu keadaan kepada satu keadaan lain.

Dari sudut istilah pula, hijrah adalah meninggalkan sesuatu yang dilarang.

Hal ini berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Habsyi, bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah." (Hadis riwayat Abu Dawud)

Dalam makna lebih luas, hijrah difahami sebagai perpindahan dari suatu keadaan tidak baik kepada keadaan yang lebih baik.

Contohnya, meninggalkan ajaran bertentangan dengan Islam dan kembali kepada ajaran Islam sebenar.

Pada asasnya, peristiwa hijrah bukan saja berlaku kepada Nabi Muhammad, malah dilakukan oleh nabi yang lain atas perintah Allah.

Nabi Ibrahim umpamanya diperintahkan Allah berhijrah ke satu tempat yang lain seperti firman-Nya dalam al-Quran yang bermaksud: "Setelah Nabi Lut beriman kepada-Nya dan Nabi Ibrahim pun berkata: Aku hendak berhijrah kepada Tuhanku, sesungguhnya Dialah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (Surah al-Ankabut, ayat 26).

Di samping Nabi Ibrahim, Nabi Musa diarahkan berhijrah kerana ancaman pembunuhan terhadap Baginda.

Selain itu, banyak ayat al-Quran yang menerangkan peristiwa hijrah Nabi Musa ke tempat Madyan, atas cadangan seorang lelaki yang mengetahui ada pakatan bunuh terhadap Nabi Musa.

Nabi Nuh juga diperintahkan berhijrah kerana akan berlaku banjir besar.

Bagaimanapun, dalam konteks hari ini, hijrah yang disambut setiap tahun pula lebih kepada memperingati peristiwa penghijrahan Rasulullah saw dan sahabat dari Kota Makkah al-Mukarramah ke Kota Madinah al-Munawwarah.

Peristiwa ini berlaku pada 632 Masihi disebabkan beberapa faktor. Antaranya, ancaman daripada kaum Quraisy terhadap umat Islam.

Malah, beberapa bulan sebelum hijrah, Rasulullah turut dihina penduduk Thaif yang angkuh dengan dakwah Baginda.

Justeru, bagi mengelakkan ancaman itu, Rasulullah saw mengarahkan pengikut Baginda keluar dari Makkah secara senyap-senyap ke Madinah (ketika itu dikenali Yathrib).

Suatu hari pada 622 sebelum Masihi, iaitu kira-kira 12 tahun selepas berdakwah di Makkah, Rasulullah saw diberitahu bahawa kaum kafir Quraisy Makkah merancang membunuh Baginda untuk memusnahkan Islam.

Lalu Allah menurunkan wahyu memerintahkan Baginda meninggalkan Madinah pada waktu malam.

Berikutan itu, Baginda menemui sahabat, Abu Bakar as-Siddiq dan memintanya supaya menemani Baginda dalam perjalanan berkenaan.

Rasulullah saw juga memberitahu rancangan Baginda kepada Ali bin Abi Talib supaya menggantikan tempat tidur Baginda.

Pada malam itu, sekumpulan Quraisy mengepung rumah Rasulullah saw dengan niat mahu membunuh Baginda. Selepas mengintai melalui lubang di pintu, mereka nampak seseorang lelaki sedang tidur di atas katil Rasulullah saw.

Mereka begitu yakin bahawa Rasulullah saw tidak dapat melepaskan diri dan hampir pasti dapat membunuh Baginda.

Bagaimanapun, apabila fajar menjelang, mereka terperanjat melihat Ali yang tidur di tempat berkenaan.

Akibatnya, kaum Quraisy terpinga-pinga memikirkan bilakah Rasulullah saw keluar dari rumah berkenaan.

Bagaimanapun, kaum Quraisy tetap mahu membunuh Baginda dan mereka bersepakat mencari segenap pelusuk bagi menyempurnakan niat jahat itu.

Rasulullah saw dan Abu Bakar keluar dari Makkah pada malam itu dan tidak ada sesiapa yang mengetahui arah tujuan mereka serta tempat persembunyian Baginda kecuali Aishah dan Asma' serta orang gaji mereka, Abdullah.

Ketika hendak meninggalkan kota Makkah untuk berhijrah ke Madinah, Baginda bersabda yang bermaksud: "Demi Allah wahai Makkah! Sesungguhnya engkau adalah tanah yang paling kucintai di bumi Allah ini sekiranya pendudukmu tidak mengusirku keluar."

Selepas itu, Baginda dan Abu Bakar bertolak ke Gua Thur, tidak jauh dari bandar Makkah. Ada riwayat menyatakan Baginda ke sana pada 27 Safar.

Setiba di Gua Thur, Rasulullah dan Abu Bakar bersembunyi di situ selama tiga hari. Dalam saat getir itu, kaum Quraisy masih mahu membunuh Baginda.

Mereka menghampiri gua berkenaan, tetapi gagal menemui Rasulullah saw di situ.

Mereka berpendapat, gua itu tidak berpenghuni selepas melihat sarang labah-labah yang masih elok menutupi kawasan berkenaan.

Selepas kaum Quraisy beredar, Rasulullah saw dan Abu Bakar meneruskan perjalanan dengan menaiki unta yang dibawa orang gaji mereka, Abdullah.

Kaum Quraisy di Makkah kian marah dengan kehilangan Rasulullah saw. Mereka menawarkan hadiah kepada sesiapa yang dapat menangkap Baginda. Ramai yang mencuba nasib, tetapi semuanya gagal.

Akhirnya dengan perlindungan Allah, Rasulullah saw dan sahabat tiba di perkampungan kaum Bani Sabin. Penduduk di situ menyambut rombongan Baginda dengan gembira.

Selepas sekian lama, Rasulullah saw dan sahabat akhirnya merasakan bakal menemui kejayaan.

Ketika Rasulullah saw dan sahabatnya dalam perjalanan, penduduk Islam yang sudah berpindah ke Madinah sebelum ini mendengar berita gembira mengenai kedatangan Baginda.

Malah, penduduk Madinah yang baru memeluk Islam gembira untuk menemui Rasulullah saw.

Maka, pada Jumaat, Rasulullah saw akhirnya diumumkan sudah tiba di Madinah. Ada riwayat menyatakan Baginda sampai ke Madinah pada 12 Rabiulawal.



KUPASAN HIJRAH

"PENGERTIAN"

Hijrah, adalah satu momentum ke arah satu perubahan yang lebih baik dan mestilah dengan niat hanya pada jalan Allah s.w.t. (*3)Sebagaimana huraian tafsir Al-Qur’anul Karim, oleh Maulana Abdullah Yusuf Ali, di dalam huraian maksud Surah An-Nahl, ayat 41, telah disebutkan di dalam nota kakinya:

“Tidak ada terdapat keutamaan atau kebaikan dalam perbuatan berhijrah itu sendiri. Untuk ianya mendatangkan kebaikan, mestilah: (1) ianya pada jalan Allah; dan (2) selepas berlaku penindasan dan kezaliman yang memaksa orang yang tertindas itu untuk memilih antara Tuhan dan manusia. Bila syarat-syarat ini ada padanya, maka mereka yang melakukan hijrah itu berhak untuk mendapat penghormatan setingginya, kerana mereka melakukan pengorbanan yang besar pada jalan Allah.” (*3)


Hijrah merangkumi pelbagai aspek sama ada secara lahiriah atau batiniah. Peristiwa hijrah Rasullullah s.a.w. beserta para sahabat dari kota Mekah ke kota Madinah merupakan peristiwa yang sangat penting kepada umat Islam seluruh dunia, dan peristiwa ini sering diperingati saban tahun pada tanggal 1 Muharram bersamaan 622 Masihi (*1).Hijrah disini merupakan perpindahan baginda secara fizikalnya dari kota Mekah ke Kota Madinah.

Antara makdud lain bagi hijrah adalah:

i) berpindah dari keadaan fitnah kepada keadaan yg lebih harmoni (*2)
ii) berpindah daripada suasana maksiat kepada amal soleh. (*2)


~MOTIF HIJRAH~


Hijrah baginda Rasullullah ini bukanlah kerana putus asa, atau kerana kelemahan atau kerana lari dari kekejaman dan penyeksaan atau kerana takut mati dan bacul dalam menghadapi musuh. Tetapi motif sebenarnya ialah akidah dan agamanya dari fitnah musuh, kerana membawa akidah dan agamanya ke bawah naungan langit yang tenang dan damai, sehingga hijrah itu menjadi wajib ke atas setiap mukmin yang berkuasa dan terdaya.(*1)

Tegasnya kedamaian dan ketenangan dalam menganuti akidah dan agamanya itulah motif hijrah. Hijrahnya Rasullullah s.a.w. dan para sahabat dengan segala pengorbanan dan kesusahan, adalah semata-mata untuk menyahut seruan Allah bagi meninggalkan buat sementara negeri Mekah yang ketika itu dipenuhi dengan kekufuran dan kesyirikan. Mereka menuju ke kota Madinah untuk mendirikan sebuah masyarakat yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai Islam menurut ajaran Allah dan RasulNya.(*1)

Lihatlah betapa kuatnya iman orang-orang terdahulu. Jika kita menghayati sirah dengan lebih jauh lagi kita akan dapat mengetahui serta menghayati dengan lebih mendalam akan maksud hijrah ini serta bagaimana pengorbanan umat terdahulu menghadapi ancaman serta mehnah dalam usaha golongan musyrikin memudarkan keimanan mereka. Namun, mereka terus bertahan menghadapinya dan sanggup meninggalkan apa yang mereka miliki semata-mata kerana Allah dan Rasul-Nya.(*3)

Justeru itu, peristiwa hijrah adalah peristiwa yang amat penting dalam sejarah Islam dalam konteks mendirikan sebuah masyarakat Islam di Madinah. Oleh sebab itu, hijrah merupakan kewajipan utama yang mesti dilaksanakan oleh umat Islam ketika itu, kerana tanpa hijrah tersebut masyarakat Islam tidak dapat dibentuk. Dalam berhijrah, terkandung tiga perkara yang tidak boleh dipisahkan, iaitu Iman, Hijrah dan Jihad(*1)

Iman menjadi titik tolak untuk berhijrah. Hijrah pula merupakan suatu ujian kepada kekuatan iman, yang kelak akan menghasilkan jihad ke jalan Allah, dan menerusi jihad pula akan menjamin kejayaan di dalam perjuangan menegakkan masyarakat Islam. (*1)Ketiga-tiga rangkaian inilah yang telah disebutkan oleh Allah dalam surah at Taubah ayat 20, yang maksudnya;

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (yakni daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang haji dan orang-orang memakmurkan masjid sahaja), dan mereka itulah orang-orang yang berjaya." (At-taubah :20)


~BAGAIMANA HENDAK BERHIJRAH?~

1. Meninggalkan satu demi satu perkara buruk mengikut kemampuan

- Rasulullah pernah menegaskan bahawa orang yg dikatakan berhijrah ialah meninggalkan perkara buruk dalam diri mereka (*2)

Daripada Aisyah r.a, katanya, “Rasulullah s.a.w. ditanya orang mengenai Hijrah. Maka bersabda Rasululullah : Tidak ada lagi Hijrah sesudah penaklukan Makkah. Yang ada ialah jihad dan niat yang sahih. Apabila kamu diperintahkan berjihad, maka patuhilah.” (Sahih Muslim)

2) Berdamping dgn rakan sebaya yang suka memberi nasihat.(*2)

- Dorongan dan motivasi rakan-rakan mampu mempengaruhi jiwa seseorang utk berubah dan berhijrah kearah yang lebih baik.
-Suasana persekitaran dan faktor rakan yang sentiasa mengingatkan kita akan memudahkan proses penghijrahan kita utk menjadi insan yang lebih baik seterusnya menjadi hamba Allah yang taat dan patuh kepada suruhan-Nya.


~ HASIL DARI HIJRAH~

Hijrah seharusnya membawa perubahan dalam hidup ke arah yang lebih baik, sempurna dan diredhai Allah. Hasilnya ialah kemenangan kita dalam mempertahankan akidah, agama, cara hidup dan nilai-nilai yang kita amalkan.Di antara ciri-ciri kemenangan yang perlu ada pada diri kita sebagai seorang Islam menerusi penghayatan hijrah ialah(*1);

1. Seorang yang beriman kepada Allah dan taat serta patuh kepada segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya

2. Orang yang beriman dengan Rasullullah s.a.w., memuliakannya, menolong dan membelanya, dan mengikuti cahaya kebenaran yang diturunkan oleh Allah melaluinya.

3. Orang yang sentiasa membersihkan jiwanya.

4. Orang yang mendapat petunjuk daripada Allah s.w.t.

5. Orang yang berjihad dengan harta benda dan dirinya.

6. Orang yang bertaqwa, bertaubat, dan sering mengingati Allah.


~PENUTUP~

Secara kesimpulannya,saya menyeru diri sendiri,ikhwah dan akhawat sekalian utk berhijrah kearah yang lebih sempurna dan lebih baik.Bantulah dan berikan semangat kepada rakan-rakan kita yang ingin berhijrah walau dr sudut apa sekalipun asalkan kerana Allah.Jangan sekali memperlekeh-lekehkan keinginanan mereka utk menjadi 'yang lebih baik'.hapuskan dengki dan dendam agar kita dpt bersatu membina ummah yang unggul.wallahu'alam




Share/Bookmark


Nak duit lebih? Jom jana pendapatan. KLIK SINI

Next previous home
Related Posts with Thumbnails