Begitu ramai orang berkumpul di pinggir pantai Rantau Abang ketika laut agak tenang lewat petang baru-baru ini dan sebilangan mereka kelihatan begitu teruja.
Di tangan masing-masing, anak- anak penyu yang comel mendongak sambil mengepak siripnya seolah- olah tidak sabar untuk menuju ke dunia sebenarnya laut lepas.
Ia memberikan pengalaman dan kenangan manis buat mereka apabila itulah buat pertama kali berpeluang menyentuh dan memegang haiwan yang mempunyai kaitan cukup rapat dengan pantai itu dan negeri ini sejak sekian lama.
Kalangan penduduk kampung bersama anak-anak, pelancong, pelajar, sukarelawan, sektor swasta dan kerajaan bersama-sama menjayakan program yang dianggap mempunyai signifikan yang besar itu.
Mereka melepaskan 2,428 ekor anak penyu petang itu dalam program anjuran Jabatan Perikanan melalui Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (TUMEC).
Program itu bertujuan menyemarakkan kesedaran umum terhadap pemuliharaan, kecintaan dan apresiasi terhadap penyu agar masyarakat bersama-sama bertanggungjawab dan komited untuk melindungi haiwan itu.
Pelepasan terbanyak secara serentak itu yang menarik perhatian media turut dicatatkan dalam Malaysia Book of Records.
Upacara pelepasan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastrukur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Za'abar Mohd. Adib dan turut dihadiri Pengarah Bahagian Pelesenan dan Pengurusan Sumber Jabatan Perikanan, Gulamsarwar Jan Mohammad.
Penyu yang dilepaskan itu berusia antara sehari hingga enam tahun, kebanyakannya jenis agar di samping beberapa ekor penyu karah yang telurnya dieram dan menetas di pusat penetasan di Rantau Abang.
Seekor daripadanya dipasang dengan peralatan pengesan satelit untuk mengesan laluan migrasinya.
Jumlah pelepasan yang banyak itu ekoran hasil penyelidikan TUMEC berhubung peningkatan prestasi penetasan dengan mengambil sebahagian telur di Geliga dan Ma' Daerah Kemaman untuk dieram di Rantau Abang.
Ketua TUMEC, Syed Abdullah Syed Abdul Kadir memberitahu, kajian membuktikan bahawa telur penyu apabila dikendalikan dengan penuh teliti akan dapat menghasilkan kadar penetasan melebihi 70 peratus walaupun dipindah dari jarak yang jauh dan dieram melebihi tempoh empat jam.
''Semua anak penyu yang ditetaskan di pusat penetasan di sini, dilepaskan serentak petang ini," katanya.
Kali ini ia tidak dilakukan pada sebelah malam bagi mengelak tumpuan ikan-ikan pemangsa kerana masa pelepasan antara pukul 7 hingga 10 malam yang lazim dilakukan sebelum ini seolah-olah memberi 'tanda' tentang waktu untuk mendapatkan anak penyu sebagai habuan.
''Sudah hampir dua dekad anak- anak penyu dilepaskan pada waktu malam terutama di pantai-pantai pendaratan yang akan mudah menyebabkan kematian anak penyu.
|
|
Pada tahun ini kira-kira 200,000 ekor anak penyu dilepaskan dalam usaha berterusan bagi mengembalikan kegemilangan Terengganu dan Rantau Abang khususnya sebagai destinasi pendaratan penyu yang utama di dunia terutama jenis belimbing.
Ketika kebimbangan bahawa haiwan itu akan pupus dan tidak lagi kembali ke pantai-pantai Terengganu, pendaratan penyu belimbing dan agar tahun ini mencatat sejarah tersendiri.
Pendaratan penyu agar di tiga pantai utama iaitu Mak Kepit, Mak Simpan (Pulau Redang) dan Geliga Kemaman mencatatkan pendaratan lebih 2,600 sarang dan yang tertinggi dalam tempoh 11 tahun.
Di pantai Rantau Abang pula, mencatatkan lapan sarang penyu belimbing dan 50 sarang penyu agar.
Bagi Za'abar, ia suatu petanda bahawa langkah pengurusan dan pemuliharaan yang diterajui oleh Jabatan Perikanan serta sokongan kerajaan negeri, swasta dan penduduk setempat mula menampakkan bibit-bibit kejayaan walaupun awalnya mungkin dilihat semacam usaha menolak ombak.
Sementara itu, Za'abar memberitahu media, dalam tempoh sedekad yang lalu, kira-kira dua juta anak penyu telah ditetaskan dan dilepas di perairan negeri ini.
Namun katanya, usaha pemuliharaan yang bermula sejak awal 60-an berdepan dengan kesukaran kerana penyu menghadapi begitu banyak ancaman di laut termasuk ikan pemangsa dan juga manusia.
''Di Rantau Abang sahaja kira-kira 500,000 anak penyu telah dilepaskan tetapi berdasarkan kajian para saintis, peluang untuk hidup dan membesar hanya seekor bagi setiap 1,000 yang dilepaskan.
''Malah bagi penyu belimbing, peluangnya dikatakan hanya seekor bagi setiap 10,000. Proses penetasannya juga agak sukar hingga kita tidak dapat lepaskan hari ini," ujarnya.
''Justeru peningkatan kesedaran dan sikap tanggungjawab masyarakat tempatan dan dunia adalah elemen penting bagi melindungi spesies-spesies penyu di negeri ini.
"Kita perlu membataskan kegiatan menjual, membeli serta memakan telurnya, mengurangkan kematiannya di laut akibat terperangkap pada peralatan perikanan dan pelanggaran dengan bot-bot pelancong," ujarnya.
Beliau juga berkata, dalam usaha pemuliharaan, kerajaan mungkin akan turut menimbangkan pengharaman penjualan sepenuhnya telur penyu di negeri ini.
Penyu mengambil masa yang panjang untuk membesar, matang dan kembali bertelur sehingga sukar baginya untuk bertemu jalan pulang.
Source: Utusan
Nak duit lebih? Jom jana pendapatan. KLIK SINI