07 November 2010

16 mangsa bot karam di Pulau Tenggol ditemui selamat

KEMAMAN: Seramai 16 mangsa bot karam termasuk seorang kanak-kanak lelaki berumur empat tahun yang hilang selepas bot itu mengalami kebocoran di sekitar perairan Pulau Tenggol petang semalam ditemui selamat pagi ini selepas 18 jam terapung di laut.

Kesemua mangsa yang berada dalam keadaan lemah dan kesejukan ditemui kira-kira 16 batu nautika selatan pulau itu oleh bot Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Tiga yang terlibat dalam operasi dan menyelamat sejak semalam.


Ketua PGM Wilayah Tiga, Asisten Komisionner Mohd Saleh Mat Jani berkata, kelibat mereka yang duduk dalam keadaan berkumpulan disedari oleh pasukan menyelamat selepas salah seorang daripada mangsa melambung jaket keselamatan ke udara.

"Tindakan mereka itu berjaya disedari oleh pasukan PGM yang kemudian bertindak menyelamatkan kesemua mangsa sebelum dibawa ke Pengkalan Marin di Kemaman kira-kira 11 pagi ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Katanya tiga orang daripada mereka berada dalam keadaan kritikal iaitu Mohd Danial Aiman Mohd Zulkifli, 4, ibunya yang sedang mengandung empat bulan, Noraini Sosilawati, 33, dan Badrul Hisham Shariman, 40.


Mengikut senarai mangsa yang dikeluarkan oleh agensi pelancongan yang mengatur perjalanan mereka, mangsa lain ialah pemandu bot Zulfadly Yahya, Salman Mohd Kasim, Muhamad Aman, Azhar Ahmad, Mazli Abd Malik, Mohd Zulkifli Mat Daud, Loo Kit Choong, dan Mohd Azharini Mohd Amin.

Ayud Haida Sulaiman, Anis Shafina, Norazimimah Abdul Maria dan Aida yang kesemuanya dibawa ke Hospital Daerah Kemaman untuk mendapat rawatan lanjut.


Dalam kejadian kira-kira 6.45 petang itu, bot jenis D-Guardian Katamaran yang membawa 15 pelancong yang terdiri daripada penyelam bertauliah dari Kuala Lumpur dan Selangor termasuk dua doktor seorang jurulatih selam, karam selepas bot berkenaan bocor.

Kejadian berlaku sejurus selepas mereka bertolak dari Pulau Tenggol menyebabkan pemandu bot cuba berpatah balik namun gagal disebabkan keadaan cuaca buruk dengan keadaan laut yang agak bergelombang.


Pemandu bot berkenaan lalu menghubungi majikan mereka memaklumkan bahawa bot berkenaan mengalami masalah.


Majikan berkenaan mencari sendiri kesemua mangsa di sekitar perairan itu sehingga ke Kuala Dungun, namun gagal dan bertindak menghubungi pihak polis.


Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim Sembilan, Kuala Terengganu Kapten (M) Adam Salleh berkata, operasi menyelamat diselaraskan sebaik sahaja pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.


Selain anggota PGM, 100 anggota dan pegawai APMM turut terbabit dalam operasi mencari dengan menggunakan tiga bot serta dua kapal dengan turut dibantu oleh pasukan bomba dan penyelamat dan Tentera Laut Diraja Malaysia. "Ketika kejadian keadaan angin agak kencang iaitu antara 50 hingga 60 knot sejam dan laut agak bergelora. Bagaimanapun mereka bernasib baik kerana mematuhi peraturan keselamatan dengan memakai jaket keselamatan.


"Operasi mengambil masa yang agak lama kerana keadaan cuaca yang buruk sejak petang semalam menyebabkan pemandangan agak terhad," kata Adam.




Share/Bookmark


Nak duit lebih? Jom jana pendapatan. KLIK SINI

Next previous home
Related Posts with Thumbnails