08 December 2009

Jambatan baru di Kampung Bukit Kuang

Rekaan, bentuk disesuai bagi dimanfaatkan industri pelancongan kawasan Sungai Kemaman

KUALA TERENGGANU: Kerajaan akan membina sebuah jambatan baru di Kampung Bukit Kuang di sini bagi menampung peningkatan aliran trafik yang semakin meningkat dan sementara menunggu kerja pembinaan bermula, Jabatan Kerja Raya (JKR) akan mempercepatkan proses pembaikan sementara jalan dan jambatan sedia ada yang rosak teruk selepas ditenggelami banjir pada musim tengkujuh ini bagi mengurangkan kepayahan yang terpaksa ditanggung pengguna.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek yang juga Ahli Parlimen Kemaman berkata, peruntukan untuk membaik pulih dan memperbesarkan Jambatan Kampung Bukit Kuang yang kini teruk terjejas hingga menyebabkan kesesakan trafik sudah diluluskan tetapi kerja pembinaan tertangguh bagi menunggu JKR menyiapkan bentuk rekaan baru.

Katanya, peruntukan untuk pembinaan jambatan baru itu sudah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) tetapi rekaan dan bentuk jambatan sudah diubah bagi membolehkan kapal melalui di bawahnya supaya kawasan di pedalaman Sungai Kemaman mendapat manfaat daripada pelbagai aspek terutama daripada kegiatan pelancongan.

“Peruntukan sudah diluluskan, cuma kita mahu rekaan diubah menjadi sebuah jambatan empat lorong yang melengkung dan kapal dapat melalui di bawahnya,” katanya tetapi tidak menyatakan kos terbabit dalam pembinaan jambatan baru itu dalam satu pertemuan dengan media di sini, semalam.

Kerosakan jalan termasuk di Kilometer 149 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan terutama di kawasan sekitar Jambatan Bukit Kuang telah menyebabkan pengguna terpaksa menempuh kesesakan sehingga 15 kilometer dari kedua-dua arah sejak dua minggu lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Jurutera JKR Daerah Kemaman, Mohd Rosli Daud, berkata pihaknya sedang membuat kajian bagi mengenal pasti bidang kerja dan kos pembaikan yang perlu dilaksanakan sebelum kerja pembaikan segera dibuat.

“Kita juga sedang melaksanakan kerja pembaikan membabitkan kerja menurap Jambatan Kampung Bukit Kuang bagi kemudahan pengguna sementara menunggu kerja pembinaan jalan dan jambatan baru di kawasan itu dimulakan pada awal tahun depan,” katanya selepas mengiringi Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek yang juga Ahli Parlimen Kemaman meninjau masalah jalan rosak di beberapa lokasi di daerah itu kelmarin.

Sementara itu, Mohd Rosli berkata, pihaknya turut menutup Jalan Meraga Beris-Payoh, Kijal kerana tanah mendap di Kilometer 1 akibat hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu.

Laluan berkenaan adalah jalan negeri dan digunakan oleh lebih 10,000 penduduk seperti di Kampung Ibok, Air Jernih, Kijal, Kemasek serta beberapa kampung lain untuk berulang alik ke Kijal sebagai laluan alternatif terutama pada musim tengkujuh.

Katanya, tanah mendap telah merobek hampir separuh jalan itu sepanjang lebih 100 meter dan keadaan itu sangat berbahaya kepada pengguna.

Justeru, JKR katanya, akan menggiatkan pemantauan bagi memastikan tiada orang awam yang melalui atau menggunakan jalan berkenaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“JKR Kemaman akan membuat penilaian dan taksiran untuk menilai jumlah kerugian yang dialami dan tidak menolak kemungkinan kos untuk menambak semula dan membaiki jalan berkenaan menelan kos antara RM3 hingga RM4 juta,” katanya.

Faktor hujan lebat luar biasa sejak bulan lalu dipercayai menjadi punca menjejaskan struktur tanah di daerah itu hingga menyebabkan banyak jalan rosak dan tanah mendap, tambahnya.

Katanya, pihaknya juga meminta kerjasama penduduk di negeri ini terutama Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk membantu dalam kerja pemantauan dan memaklumkan kepada JKR jika berlaku tanah mendap atau runtuh hingga menjejaskan jalan raya di kawasan mereka.


Source: Berita Harian






Share/Bookmark


Nak duit lebih? Jom jana pendapatan. KLIK SINI

Next previous home
Related Posts with Thumbnails