11 August 2010

Sejarah Puasa




Puasa semenjak permulaan sejarah manusia telah pun di perhatikan sebagai salah satu kaedah untuk mencapai keagungan spiritual dan penawar kealpaan yang boleh menuntunnya kepada kemungkaran. Puasa bukan sahaja telah menjadi ibadat kepada penganut syahadah Ilahiyyah, malahan ia turut menjadi satu amalan lazim oleh masyarakat bukan Islam termasuklah; Mesir kuno, Yunani Greek, bangsa Romawi dan China kuno.

Sebagai contoh, bangsa Yunani telah mempelajari kelebihan puasa daripada bangsa Mesir kuno di mana ia dianggap sebagai persiapan awal ketika menghadapi perperangan. Manakala bangsa Romawi pula meniru kaedah puasa daripada bangsa Yunani dengan kepercayaan ia boleh menjadi benteng diri dengan kehadiran dua kekuatan samada secara fizik mahupun secara metafizik (ketahanan dan kesabaran).

Sebaliknya bangsa China mempunyai rantaian kaedah puasa yang berlainan di mana mereka menjadikan amalan puasa sebagai doktrin dalam ajaran Buddha. Keadaan ini jelas berbeza dengan ibadat puasa bangsa Yahudi dan Kristian yang di cetuskan oleh kehendak ajaran Ilahi melalui para nabi yang diutuskan kepada mereka.

Terkenal di dalam Taurat (surah Eksodus) bagaimana kisah Nabi Musa AS melaksanakan puasa selama 40 hari di Jabal Sinai. Dan, dalam tempoh inilah Nabi Musa AS di amanahkan beban kepimpinan serta di perintah supaya melakukan ibadat puasa. Yang lebih menarik lagi, bangsa Yahudi melaksanakan puasa sebagai reaksi mereka kepada ratapan kesedihan di atas bencana yang menimpa. Mereka mempercayai bahawa dengan puasa, kemurkaan tuhan dapat diredakan serta dosa mereka dapat diampuni.

Selain itu, bangsa Yahudi memaknai puasa mereka dalam mengenang peristiwa kemusnahan Bandar Jerusalem di tangan Nebucednezar II (605-562 SM) putera kepada Nabopelessar, pengasas kerajaan Babylon baru pada tahun 597 SM. Nabi Isa AS iaitu Rasul dari bangsa Yahudi yang terakhir bersama dengan ibunya Maryam Binti Imran turut melaksanakan ibadat puasa pada hari tersebut.

Manakala dalam satu peristiwa yang lain (dengan merujuk kepada Bible; Matius), Nabi Isa AS bersama dengan para hawari (pengikutnya) telah meneruskan tradisi puasa selama 40 hari oleh Nabi Musa AS. Di kalangan penganut ajaran Kristian, perayaan Paskah akan lebih bererti sekiranya di dahului dengan amalan puasa selama 40 hari. Sementelah itu, barulah ahli-ahli teologi Kristian memperkenalkan kaedah berpuasa tanpa memakan daging, ikan dan telur.

Dan, kedatangan Islam 500 tahun selepas Nabi Isa AS telah melengkapkan sejarah puasa sebagai momentum kebangkitan. Dalam era ini, ibadat puasa telah disemangati dengan penuh keagungan. Pada bulan Sha’aban di tahun kedua hijrah Rasulullah SAW ke Madinah, baginda telah memproklamasikan perintah Allah tentang kewajipan berpuasa sebulan Ramadhan dan dengan kehadiran Ramadhan ia telah ‘membakar’ lagi bara perjuangan Islam sesuai dengan sifatnya. Bulan Ramadhan ketika awal era Islam turut di kenali sebagai al-Marzuuq dan al-Midmar.

Puasa di dalam Islam adalah puasa yang mempunyai dua dimensi iaitu; hablun minallah dan hablun minal nas (horizontal dan vertikal). Di samping itu juga, ia merupakan puasa yang telah digarisi dengan matlamat al-Qadr — induk segala malam!

Justeru, anugerah Ramadhan pada kita, harus di sambut dengan perasaan kegirangan dan keghairahan oleh setiap muslim sebagai tanda kebenaran terhadap firman Allah dalam al-Quran; “Wahai orang-orang yang beriman. Di wajibkan ke atas kamu untuk berpuasa sebagaimana yang telah diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu, agar kamu bertaqwa” (al-Baqarah: 183).




Share/Bookmark


Nak duit lebih? Jom jana pendapatan. KLIK SINI

Next previous home
Related Posts with Thumbnails