Showing posts with label Kota Setar. Show all posts
Showing posts with label Kota Setar. Show all posts

04 November 2010

Dua lagi kanak-kanak dikhuatiri lemas di Alor Setar



ALOR SETAR: Dua kanak-kanak dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam tali air di kawasan sawah padi di Tanjung Bendahara di sini tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab berkata, dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mangsa Nur Irshah Rosli, 9, dan rakannya Awwad Hakimi Rudaini, 7, dikatakan sedang bermain-main di kawasan sawah tersebut yang dipenuhi air.


Katanya, ketika kejadian, ada beberapa orang lagi kanak-kanak bermain di kawasan itu.

"Kanak-kanak itu memberitahu selepas dua mangsa itu terjatuh ke dalam tali air, mereka dipercayai tersedut masuk ke dalam lubang yang dalam," katanya kepada Bernama hari ini.


Abdul Ghafar berkata, orang ramai gagal menyelamatkan mangsa kerana air terlalu deras dan kawasan tali air tersebut sangat berbahaya.


Sementara itu, bapa Nur Irshah, Rosli Ismail, 45, berkata anak ketiga daripada empat beradik itu pada mulanya bermain bersama beberapa rakan di halaman rumahnya di Taman Sultan Abdul Halim, Tanjung Bendahara dekat sini.

Setengah jam kemudian beliau yang berada di rumah menerima panggilan daripada salah seorang anak lelakinya mengenai kejadian yang menimpa anaknya itu dan bergegas ke tempat kejadian, 500 meter dari kediamannya.


"Sejak awal lagi saya dah nasihat dia (mangsa) jangan pergi main jauh-jauh sebab takut berlaku perkara yang tidak diingini.

"Tiba-tiba saya dapat panggilan dari abang mangsa yang mengatakan Irshah lemas ketika bermain bersama rakan-rakan di tepi tali air yangmengalir deras," katanya.


Operasi mencari dan menyelamat dua kanak-kanak itu sedang giat dijalankan oleh polis dan bomba. Hadir sama di tempat kejadian adalah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Anggota Parlimen Alor Setar, Datuk Chor Chee Heung yang melawat dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.


Sementara itu, mayat dua beradik yang dikhuatiri lemas di Kampung Telaga Mas di Pokok Sena semalam telah dijumpai oleh pasukan penyelamat kira-kira pukul 1 tengah hari dan 2 petang tadi.


Mayat Sharifah Syukor, 8, dijumpai kira-kira pukul 1 tengah hari manakala mayat kakaknya, Siti Nadia Syukor, 13, dijumpai sejam kemudian.


"Kedua-dua mayat tersebut dijumpai di tempat mereka jatuh semalam," kata Abdul Ghafar.


Dalam kejadian semalam, dua beradik itu dikatakan membonceng motosikal yang ditunggangi oleh kawan mereka, Intan Malik, 14.


Ketika mereka melalui jalan batas ban tali air di kampung itu, tiba-tiba air beralun kuat menyebabkan Intan yang membawa motosikal tersebut tidak dapat mengawal kenderaan itu menyebabkan mereka terjatuh ke dalam tali air dan dihanyutkan arus.


Sehingga hari ini, jumlah mangsa lemas akibat banjir sudah menjangkau empat orang.-Bernama




Share/Bookmark


Nak duit lebih? Jom jana pendapatan. KLIK SINI

03 November 2010

TERKINI: Lebih 36,000 dipindah akibat banjir

Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di Kedah, Perlis dan Kelantan mencecah 36,000 dengan beberapa jalan utama ditutup kerana ditenggelami air.

Mangsa banjir di Kedah merupakan yang teramai dipindahkan, iaitu 25,000 orang, 11,411 penduduk di Perlis dan 475 lagi di Kelantan.

Di Kedah, mangsa banjir daripada 6,415 keluarga di empat daerah di Kedah dipindahkan ke pusat penempatan banjir berikutan keadaan banjir semakin teruk sejak dua hari lepas.

Daripada jumlah itu, 15,613 penduduk daripada 4,178 keluarga adalah dari daerah Kubang Pasu, 3,105 mangsa daripada 801 keluarga (Padang Terap), 5,331 penduduk daripada 1,202 keluarga (Kota Setar) dan 1,039 penduduk daripada 234 keluarga di Pokok Sena.

Jurucakap bilik gerakan Majlis Keselamatan Negara berkata sebanyak 94 pusat penempatan mangsa banjir dibuka di keempat-empat daerah dan daripada jumlah itu, 45 di Kubang Pasu, 35 di Padang Terap, lima di Pokok Sena serta sembilan di Kota Setar.

Sementara itu, beliau berkata 803 orang mangsa banjir daripada 183 keluarga di Padang Terap telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing kira-kira pukul 1 tengah hari ini.

Antara kampung yang dilanda banjir di Kubang Pasu ialah, Kampung Changkat Setoi, Paya Lantau, Malau, pekan Changlun, Jitra dan Kodiang. Bacaan paras air sungai Bata melepasi paras bahaya iaitu 9.58 meter (paras bahaya 9.14m).

Tinjauan Bernama di daerah Kota Setar mendapati air semakin naik sehingga 0.7 meter walaupun hujan telah berhenti kerana aliran air dari daerah Padang Terap.

Sementara itu senarai jalan yang ditutup adalah seperti berikut:

KOTA SETAR
1. Jalan Pantai Johor – Gunung Keriang
2. Jalan Kuala Sungai – Sungai Baru
3. Jalan Alor Setar – Kepala Batas
4. Jalan Kepala Batas – Bukit Pinang
5. Jalan Hutan Kampung – Kepala Batas
6. Lebuhraya Darulaman (beberapa bahagian)

POKOK SENA
1. Jalan Lengkuas – Derang
2. Jalan Derang – Batu 11 Pokok Sena

KUBANG PASU
1. Jalan Tanah Merah – Wang Tepus
2. Jalan Kepala Batas – Kemunting
3. Jalan Jitra – Sungai Korok
4. Jalan Tunjang – Teluk Malek
5. Jalan Teluk Malek – Kampung Naga
6. Jalan Jitra – Bukit Wang
7. Jalan Napoh – Wang Tepus
8. Jalan Changlun – Kodiang
9. Km 10.2 hingga Km28 Lebuhraya Utara Selatan

PADANG TERAP
1. Jalan Kampung Kubu – Simpang Nai Teh
2. Simpang Nai Teh – Kampung Tengah
3. Jalan Kuala Nerang – Kampung Tanjung
4. Jalan Kampung Tanjung – Puncak Janing
5. Jalan Kuala Nerang – Durian Burung
6. Jalan Batu 19 Kuala Nerang – Kampung Rambuntan
7. Jalan Masjid Kuala Nerang – Kampung Rambutan
8. Jalan K. Nerang – Barokhas
9. Jalan Kampung Tanjung – Tok Pelu

Sementara itu di Perlis, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan di seluruh negeri itu meningkat kepada 11,411 orang daripada 2,301 keluarga.

Angka itu meningkat hampir sekali ganda berbanding jumlah yang dicatatkan pada sebelah pagi.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis berkata, mereka ditempatkan di kira-kira 50 pusat pemindahan.

Menurutnya, walaupun beberapa kawasan di utara Perlis telah mulai surut dan 1,162 mangsa telah dibenarkan pulang petang ini, namun jumlah keseluruhan yang masih berada di pusat-pusat pemindahan adalah sebanyak 11,411 orang.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu menasihati mangsa-mangsa banjir supaya mengutamakan kesihatan dan meminum air bersih.

Katanya, bencana itu membabitkan banyak mangsa dan mereka terdedah dengan ancaman penyakit jika tidak berhati-hati.

Mengenai rungutan penduduk bahawa bekalan elektrik dipotong oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) di beberapa kawasan, Md Isa berkata, ia dilakukan demi keselamatan penduduk di kawasan banjir.

"Tiada pilih kasih. Rumah saya pun kena potong bekalan elektrik pada sebelah pagi," katanya.

Di Kelantan pula, mangsa banjir yang dipindahkan di Rantau Panjang pada sebelah petang ini sehingga jam 4 sedikit bertambah kepada seramai 475 orang berikutan limpahan air Sungai Golok.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Pasir Mas berkata sebuah lagi pusat pemindahan baru dibuka pada pukul 11 pagi ini iaitu di Sekolah Kebangsaan Tok Deh, Rantau Panjang yang menempatkan seramai 23 penduduk sekitar Kampung Tok Deh dan Kampung Che Daah.

"Di stesen keretapi lama mangsa yang ditempatkan di situ masih kekal seramai 410 orang yang terdiri daripada penduduk Kampung Kedai Lama, Kedap dan Kampung Dangar, manakala 42 penduduk lagi dipindahkan di Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi yang terdiri daripada penduduk Kampung Banggol Kulim dan Bandang Guchil," katanya kepada Bernama.

Pada sebelah pagi terdapat seramai 452 mangsa banjir yang dipindahkan di stesen keretapi lama dan Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi itu.

Beliau berkata paras air Sungai Golok di situ pada bacaan pukul 4 petang surut sedikit iaitu 10.12 meter, tetapi masih melebihi paras bahaya 9 meter.

Jurucakap itu berkata tiada jalan utama yang menghubungkan negeri ini ditutup melainkan dua jalan alternatif ke Jeli dari Rantau Panjang yang masih ditutup kepada kenderaan ringan iaitu di Lalang Pepuyu dan Lubok Stol.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku akibat banjir di jajahan itu.

Di Zon Bebas Cukai di pekan Rantau Panjang juga dilaporkan banyak premis masih ditutup berikutan kawasan itu yang terletak bersebelahan Sungai Golok masih digenangi air.

Cuaca di Kelantan pada pagi dan sebelah petang ini mendung tetapi tiada hujan dilaporkan.


Source: Malaysiakini


P/S: Harap-harap banjir cepat surut la.... Semoga tak timbul pula banyak penyakit lepas banjir




Share/Bookmark


Nak duit lebih? Jom jana pendapatan. KLIK SINI

previous home
Related Posts with Thumbnails