30 October 2010

Mangsa nahas bas cerita detik ngeri kemalangan bas di Genting Sempah

KUALA LUMPUR: Terlantar di katil hospital dengan kaki bersimen, Mohd Hafifi Yahya kini tidak pasti sama ada impiannya untuk menjadi anggota tentera mampu menjadi kenyataan.

"Lepas belajar, saya ingin menjadi seorang tentera. Tapi saya tidak pasti boleh jadi lagi ke tidak kerana setahu saya kerja-kerja beruniform memerlukan syarat seseorang itu yang tidak mempunyai sebarang kecederaan,” katanya dengan nada sedih.

Mohd Hafifi, 19, patah kaki serta bercalar di tangan dan bahu dalam kemalangan berhampiran Genting Sempah semalam dan kini masih ditempatkan di Hospital Selayang dekat sini.
Seramai tujuh orang Belia 4B dari Baling, Kedah, maut dalam kemalangan tersebut sementara 39 lagi, termasuk dua pemandu, cedera ketika bas rombongan itu menuruni Genting Highlands.

Menceritakan detik sebelum kemalangan, Mohd Hafifi berkata dia agak tidak selesa dengan keadaan bas semenjak bas itu bertolak dari kampungnya Kampung Baru Siong.

“Saya dah rasa lain macam ketika berada dalam bas itu. Air pendingin hawa menitik dan macam-macam bunyi kedengaran dalam bas,” katanya.

Katanya, ketika pemandu bas membrek secara mengejut kesemua penumpang tercampak ke bahagian belakang bas.
Dia yang duduk di barisan belakang sekali, berkata tragedi ngeri itu tidak akan mampu dilupakan sepanjang hayatnya.

Bagi Mohd Akram Abdul Mustafa, 19, selain mengalami kecederaan di bahagian kepala, dia juga kehilangan adiknya yang terkorban dalam kemalangan itu.

Pelajar Institusi Kemahiran Belia Negeri (IKBN) Kuala Perlis itu berkata kehilangan adiknya amat dirasai.

“Dalam bas saya duduk di sebelah tingkap. Masa bas terbalik saya bangun dan melihat adik saya dah tiada. Masa bas terbalik adik saya terseret sehingga ke dalam longkang,” katanya.

Akram tidak ditemani ibu bapa dan saudara-mara di Hospital Selayang kerana mereka menguruskan jenazah adiknya Mohd Faimi Abdul Mustafa, 17, di kampung.

Turut berada di Hospital Selayang ialah seorang ibu tunggal yang kelihatan sunggul melihat anaknya Mohd Ajril, 15, yang menerima 15 jahitan di kepala.

Norhaizam Hasan, 37, berkata anaknya sempat berpatah balik sebelum menaiki bas dan menciumnya sebanyak tiga kali.

“Ia sesuatu yang luar biasa dan hati saya tidak beberapa sedap selepas itu,” katanya.

Di Hospital Kuala Lumpur, seorang mangsa yang dikenali sebagai Mohd Adib berkata dia dapat melihat sendiri bagaimana bas yang dinaikinya berlanggar dengan sebuah kereta.

"Saya sedar semasa kejadian berlaku. Saya duduk di tempat duduk belakang dan nampak kejadian itu berlaku dengan pantas. Saya hanya sedar sudah berada di hospital ini," katanya yang masih kelihatan lemah serta ditemani beberapa sanak-saudara.

Dia yang masih trauma dengan kejadian itu tidak mengetahui telah kehilangan kaki kanannya.

Katanya dia bernasib baik kerana kedua-dua adiknya tidak mengikuti rombongan berkenaan. - BERNAMA


Source: Berita Harian




Share/Bookmark


Nak duit lebih? Jom jana pendapatan. KLIK SINI

Next previous home
Related Posts with Thumbnails