21 January 2010

Kisah Helang dan Ayam



Pada suatu hari seekor helang sedang berlegar-legar di angkasa. Tiba-tiba dia ternampak seekor ayam sedang mencatuk-catuk tanah mencari cacing. Senyap-senyap dia terbang menuju ke arah ayam dan hinggap betul-betul di belakang ayam. Ayam sangat terkejut akan kemunculan helang dan pada fikirannya hari ini adalah hari terakhir baginya untuk hidup di dunia ini. Tanpa berlengah dia pun merayu pada helang.. 'En. Lang, tolonglah jangan kau makan aku lagi. Aku ada ramai anak yang perlu aku jaga. Kalau aku tak ada.. siapalah nak carikan makanan untuk mereka'.Burung helang tadi terpinga-pinga mendengar rayuan ayam tadi. Lalu ia pun berkata.. 'Relaks Che Yam, relaks... bawak bertenang'. Kata helang lagi.. 'Aku datang ni bukannya nak memakan kamu tapi aku ingin belajar sesuatu dari kamu'. Ayam berasa lega mendengar kata-kata helang tersebut. Antara percaya dengan tidak ayam bertanya kepada helang. 'Apa yang hendak awak pelajari?'. Jawab burung helang ' Aku hendak kau ajar aku bagaimana makan dengan cara mencatuk. Aku dah puas terbang'. Ayam pun berkata ' Ooooo boleh, boleh En. Lang. Tapi boleh tak En. Lang mengajar pula saya terbang. Saya pun teringin juga terbang. Sejak dari kecil lagi saya bercita-cita untuk terbang. Sampai sekarang tak dapat. Apa kata kita bertukar-tukar kemahiran?'



Mendengar cadangan ayam tadi maka burung helang pun bersetuju. Maka mereka pun menetapkan tarikh dan jangka masa kursus. Dan kedua-duanya saling bertukar-tukar kemahiran. Kata orang mereka mengamalkan konsep 'menang-menang'. Mereka sangat tekun dan bersungguh-sungguh. Dan setelah dua purnama berlalu maka sampailah hari yang ditunggu-tunggu iaitu hari ujian.

Burung helang memulakan ujian dan dapat mencatuk banyak cacing dalam masa yang singkat sahaja. Sampaikan ia berkata pada ayam 'cukuplah untuk hari ini, dah penuh dah tembolok aku'. Begitulah kenyangnya burung helang pada hari itu. Kemudian tiba masanya bagi ayam pula. Lalu ia pergi ke satu kawasan yang tinggi dan meluncur laju. Dan tup-tup ia mampu terbang. Wah.. bukan main suka lagi ayam kerana akhirnya dapat juga jadi juruterbang. Setelah lama di awangan maka ia pun turun ke bumi dan berjumpa dengan helang dan mereka berdua saling bersalam-salaman sambil bertukar-tukar 'diploma'.

Keesokan harinya burung helang terbang di udara dan dia melihat ayam sedang mencatuk makanan. Maka burung helang itu pun menegur ayam. 'Che Yam, pasal apa kau masih mencatuk?. Ayam secara spontan menjawab .. 'Dah kau tu kenapa masih terbang?'.

Begitulah kisah situasi yang banyak berlaku sekarang. Ramai orang belajar bertahun-tahun dalam pengkhususan tertentu. Namun bila dapat diploma atau ijazah mereka mensia-siakan apa yang telah dipelajari. Walhal begitu banyak sudah wang dan tenaga yang dicurahkan. Alangkah baiknya kalau mereka boleh merancang dari awal dan buat apa yang mereka betul-betul minat dan buat perkara tersebut sampai menjadi 'pakar' dalam bidang berkenaan.

Dan yakinlah bila anda telah menjadi 'pakar' maka rezeki akan datang mencurah-curah kerana anda akan menjadi tempat rujukan dalam bidang berkenaan.




Credit: Scripters


P/S: Cerita ini khas untuk ayam-ayam serama di Kelantan dan UK... kes kes kes




Share/Bookmark


Nak duit lebih? Jom jana pendapatan. KLIK SINI

Next previous home
Related Posts with Thumbnails