12 December 2010

6 Individu Lemas di Chendering

MALANG... penyelamat membawa naik mayat Raymond, tengah hari semalam.
MALANG... penyelamat membawa naik mayat Raymond, tengah hari semalam.

KUALA TERENGGANU: Kejadian lemas membabitkan enam individu termasuk tiga beradik di Pantai Pakdak, Chendering, dekat sini, kelmarin, disifatkan sebagai tragedi paling besar membabitkan mangsa lemas di Terengganu setakat ini.

Sambil memberikan nasihat kepada orang ramai supaya menghindari aktiviti di kawasan berisiko lemas seperti pantai dan air terjun pada musim tengkujuh, Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Hamzah Md Jamil berkata, pasukan penyelamat masih menggiatkan usaha mencari tiga lagi yang dilaporkan hilang di laut.

Menurutnya, pasukan penyelamat membabitkan 18 anggota polis, bomba (24), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (12) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (14) akan mencari sehingga mangsa ditemui dan setakat ini pencarian tertumpu di lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Operasi mencari akan bergerak mengikut arus dan ia akan dikembangkan beberapa batu nautika jika tiada perkembangan positif atau tanda mangsa ditemui,” katanya ketika melawat tempat kejadian di sini, semalam.

Dalam lawatan sama, beliau turut melahirkan rasa simpati dan takziah kepada keluarga mangsa yang setia menunggu di lokasi kejadian dan mengingatkan mereka supaya bersabar sementara pihak berkuasa menjalankan gerakan mencari.


Harian Metro semalam melaporkan, keseronokan enam sekawan bermain ombak di Pantai Peranginan Chendering, di sini, berakhir tragedi apabila dua daripada mereka lemas manakala tiga lagi masih hilang dalam kejadian kira-kira jam 2 petang, semalam.

Sebelum kejadian, tiga daripada mereka yang juga adik-beradik, Kumuda Shanmugan, 28, Raymond, 26, dan Roshini, 16, dari Kampung Jawa, Klang, Selangor serta tiga rakan mereka dikenali sebagai Mogan, 21, Mathavi, 20, dan Vijaykumar, 18, pergi ke pantai berkenaan untuk mandi.

Bagaimanapun, sebaik tiba di pantai itu Mathavi terjerumus ke dalam pasir sebelum ditarik ombak besar ketika bermain di gigi air di kawasan berbatu di pantai berkenaan.

Panik dengan kejadian itu, tiga beradik terbabit bersama dua lagi rakan terjun ke laut untuk menyelamatkan mangsa yang ketika itu hampir lemas.
Bagaimanapun, mereka turut lemas akibat dipukul ombak sebelum disedari orang ramai yang menghubungi pihak berkuasa.

Sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Balai Kuala Terengganu dan Chendering yang tiba beberapa minit kemudian menyelamatkan seorang daripada mereka, manakala dua lagi ditemui lemas dan satu lagi masih hilang.

Mereka yang lemas ialah Roshini dan Kumuda, manakala yang masih hilang ialah Vijaykumar.

Mayat Raymond ditemui jam 12.30 tengah hari semalam sementara mayat Mogan ditemui jam 4.30 petang semalam, manakala Mathavi yang diselamatkan lima individu terbabit kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini.



Source: Utusan





Share/Bookmark


Nak duit lebih? Jom jana pendapatan. KLIK SINI

Next previous home
Related Posts with Thumbnails