11 October 2010

Info Hari Ini, Cerita Saksi dan Gambar-Gambar Kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan, Dekat Tol Simpang Ampat 10.10.10

SEREMBAN 11 Okt. – Tiga lagi mangsa nahas kemalangan melibatkan dua bas, tiga kereta dan sebuah van di Kilometer 223 Lebuh Raya Utara-Selatan berdekatan Plaza Tol Simpang Ampat, Alor Gajah, Melaka, semalam, meninggal dunia hari ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha mengesahkan jumlah mangsa yang meninggal dunia setakat ini meningkat kepada 15 orang.

“Tiga lagi mangsa meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital hari ini manakala 12 di tempat kejadian semalam,” katanya di sini hari ini. – Utusan




Senarai Nama Mangsa Terbunuh Dalam Kemalangan Ngeri

MELAKA: Berikut adalah nama 12 mangsa yang terbunuh dalam satu kemalangan membabitkan dua bas, sebuah van dan tiga kereta diKilometer 223, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran plaza tol Simpang Ampat dekat Rembau, petang Ahad.

Polis melaporkan mereka terdiri daripada sembilan rakyat tempatan dan tiga warga Myanmar.

Mangsa tersebut ialah pemandu bas ekspres R. Ramachandra, 52, dari Kampung Tengah, Klebang Besar; penumpang bas ekspres Muhammad Farizuddin Talib, 19, dari Balai Panjang, Malim; Azizi Ajis, 19, dari Kampung Japis, Nyalas; Norazmi Abdul Karim, 24, dari Kampung Pondok Kempas, Selandar; Sharene Sofia Fadzry Tan, 18, dari Semabok Perdana; dan Nur Shafika Baba, 29, dari Pokok Mangga di sini.

Tiga lelaki warga Myanmar itu ialah Pau Khan Tual, 21; Kam Khaw Tual, 28; dan Cin Thawa Tuang, (umur tidak diketahui, kenderaan yang mereka naiki belum disahkan).

Pemandu van Goo Chuan Heng, 34, dari Taman Maju, Batu Pahat, Pang Shi Moei dari Taman Segar, Segamat, 57, dan Eng Sok Kuan dari Kuala Lumpur, 52 (belum disahkan kenderaan yang dinaiki). - BERNAMA




Bas cuba potong kenderaan tapi gagal, kata penumpang

SEREMBAN: Seorang penumpang bas ekspres Delima yang terselamat dalam kemalangan maut yang mengorbankan 12 nyawa petang semalam, mendakwa dia melihat pemandu bas cuba memotong sebuah kenderaan, tetapi gagal dan bas itu mula terhoyong-hayang menyebabkan ia melanggar pembahagi lebuh raya sebelum melambung ke laluan bertentangan.

Tew Chi Ling, 18, pelajar Kolej Bandar Utama itu berkata, dia kini berada dalam keadaan trauma dan terkejut kerana dapat menyaksikan keseluruhan detik-detik cemas, ketika kemalangan itu berlaku.


"Saya tengok, ramai penumpang bergelimpangan di atas jalan raya dan ada juga yang tersepit di dalam bas. Saya lihat, bas itu sudah dipenuhi darah manusia.


Ada yang mengeluh kesakitan, ada yang sudah tidak bersuara lagi. Ada pula yang patah, cedera di kepala. Saya cuba membantu, tetapi tidak berdaya," katanya.


Dia sedih kerana banyak suara yang meminta tolong dari dalam bas yang remuk itu, apatah lagi terkejut dengan jeritan tanpa henti penumpang yang terbabit dalam kemalangan maut itu.


"Saya bernasib baik kerana selamat bersama seorang rakan kolej. Saya masih dirawat, tetapi rakan tidak dibenarkan balik. Saya cuma mengalami cedera ringan dan luka di beberapa bahagian badan," katanya ketika ditemui di wad Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), di sini hari ini.


Sebahagian besar penumpang bas ekspres Delima itu sedang tidur ketika kenderaan itu melambung, terhempas dan melanggar beberapa kenderaan lain di Kilometer 223, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran plaza tol Simpang Ampat, di Rembau.


Menurut beberapa penumpang yang terselamat, mereka melihat penumpang lain yang ketika itu ramai yang tidur melambung keluar dari bumbung bas yang pecah, selain beberapa lagi tersepit apabila bas itu terhempas di atas jalan raya.


Seorang lagi penumpang, Liow Sin Ren, 23, berkata dia tidak sedar apa yang berlaku kerana tidur dan hanya menyedari apabila bas sudah terbalik.


"Bila saya sedar seluruh badan terasa sakit. Saya buka mata perlahan-lahan dan terkejut apabila bumbung bas sudah tercabut," katanya yang mengalami keretakan pada tulang hidung dan pipi.


Katanya, doktor terpaksa menyedut serpihan kaca yang masuk ke dalam telinganya.

Seorang lagi mangsa yang selamat, Nur Najlaa Aquilah Mohd Ghazali, 19, yang kehilangan sebahagian kulit dan daging di pergelangan tangan kirinya berkata, dia berada dalam keadaan separuh sedar dan pening kerana bas itu berpusing dan terhoyong-hayang.


"Saya terhantuk dan kepala pening sebaik sahaja bas yang dinaiki terbabit dalam kemalangan. Apabila saya sedar, saya lihat pakaian saya dibasahi dengan darah," katanya.


Beliau berkata ramai penumpang yang mengerang kesakitan dan ada juga yang merangkak keluar dari bas yang sudah remuk.


"Saya menangis apabila melihat darah banyak mengalir dari pergelangan tangan dan dimaklumkan ia terkoyak semasa kemalangan itu berlaku," kata pelajar Universiti Malaya itu.

Sementara itu, beberapa lagi mangsa yang cedera tidak dapat ditemubual kerana masih berada dalam keadaan lemah dan trauma berikutan kejadian itu.


Turut kelihatan beberapa ahli keluarga mangsa yang terselamat di bilik wad berkenaan dan perkarangan menunggu di luar wad terbabit.


Sehingga kini, HTJ menerima 24 mangsa yang cedera di tiga wad iaitu wad pembedahan, wad Unit Rawatan Rapi (ICU) dan wad "High Dispency" (HDW) dan kesemua mangsa dilaporkan stabil serta diberi perhatian sebaik mungkin oleh doktor yang bertugas.


Dalam kemalangan itu, 12 orang terbunuh, manakala lebih 40 dilaporkan cedera dalam kemalangan membabitkan dua bas, sebuah van dan dua kereta dalam kejadian yang berlaku pada jam 6.40 petang.


Kejadian itu berlaku, ketika bas ekspres Delima yang dipandu laju, gagal mengawal kenderaan apabila terbabas dan melanggar pembahagi lebuh raya sebelum melambung ke laluan bertentangan dan melanggar van, bas sebelum menghempap dua kereta.-Bernama






More Info: http://zaifull.blogspot.com/2010/10/kemalangan-ngeri-10-10-10-11-orang-maut.html
More Videoclip: http://zaifull.blogspot.com/2010/10/lagi-video-kemalangan-ngeri-di-tol.html



Share/Bookmark


Nak duit lebih? Jom jana pendapatan. KLIK SINI

Next previous home
Related Posts with Thumbnails