27 October 2010

DUN Galas: Kempen bermula

  • Foto

    MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek bersama Ab Aziz dan penyokong Barisan Nasional berkonvoi menaiki motosikal untuk menemui pengundi di Kampung Sungai Terap.
























Isu tanah, pencerobohan Lojing bakal hangat di Galas

GUA MUSANG: Kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas bermula semalam, sejurus calon Barisan Nasional (BN) dan PAS disahkan bertanding mengisi kekosongan kerusi itu pada 4 November ini.

BN diwakili Setiausaha UMNO bahagian Gua Musang, Ab Aziz Yusof, 49, manakala PAS yang mempertahankan kerusi itu diwakili Pemangku Yang Dipertua PAS kawasan Gua Musang, Dr Zulkefli Mohamed, 44.
Sejurus penamaan selesai kira-kira jam 12 tengah hari, semua pemimpin parti yang bertanding bergegas memulakan kempen menerusi pelbagai atur cara yang diatur jentera parti masing-masing.

Pengarah Jentera Pilihan Raya Kecil BN, Tengku Razaleigh Hamzah, misalnya meluangkan masa menemui pengundi tempatan yang hadir mengiringi Ab Aziz ke Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang.

Selain Tengku Razaleigh, calon BN turut diiringi oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dan Datuk Chor Chee Heung serta Naib Presiden MIC, Datuk Dr S Subramaniam.

Calon PAS pula diiringi oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya, Nasharuddin Md Isa dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali.
Nik Aziz yang yakin PAS mampu menang di Galas, berkata parti itu akan mengutamakan kempen berdasarkan perbezaan asas perjuangan antara PAS dengan BN dan memberi jaminan tidak akan menyerang peribadi calon.

Namun, hakikatnya jentera PAS pada peringkat akar umbi dijangka terus menyerang calon BN dengan pelbagai isu bermula dengan latar belakang pendidikan Abd Aziz, keupayaannya menjadi wakil yang berkesan dalam DUN, walaupun sebelum ini PAS juga pernah meletak calon yang lebih rendah latar belakang akademiknya sebagai ADUN.

Di sebalik keyakinan PAS terhadap pelbagai isu yang mahu ditujukan kepada BN, parti itu tidak terkecuali daripada berdepan pelbagai isu dijangka dibangkitkan BN.

Di kalangan Orang Asli, PAS berdepan isu pengambilan tanah diusahakan masyarakat pribumi itu tanpa pampasan sewajarnya. Malah, agihan dividen ladang rakyat yang kononnya untuk membantu kaum terbabit sekadar gula-gula kerana disalurkan kepada segelintir penduduk, berbanding kelompok lain dari luar Gua Musang.

Isu penerokaan tanah yang berterusan menerusi aktiviti pembalakan dan pajakan tanah yang dibuat oleh syarikat konsesi menyaksikan kehidupan masyarakat Orang Asli di Lojing kini terus terhimpit dan mungkin terpaksa berpindah selain mencetuskan kebimbangan terhadap pencemaran alam sekitar.

Ketua Pemuda UMNO bahagian Gua Musang, Bazlan Baharuddin, berkata jentera PAS boleh terus memainkan isu perpecahan dalaman bahagian itu, sedangkan hakikatnya seluruh jentera Pemuda dan Wanita meningkatkan gerak kerja bagi merampas kembali DUN Galas.

“Jentera PAS hanya mahu mengadu-domba dalam usaha mereka memecah perpaduan di kalangan ahli UMNO bahagian Gua Musang kerana sedar mereka sebenarnya tiada isu besar terhadap calon BN dan kepemimpinan Ku Li di Gua Musang.

“Jentera Pemuda UMNO bahagian sudah meningkatkan usaha memastikan kemenangan berpihak kepada BN,” katanya.


Source: Berita Harian




Share/Bookmark


Nak duit lebih? Jom jana pendapatan. KLIK SINI

Next previous home
Related Posts with Thumbnails