07 December 2010

Tasik Kenyir dicemari bakteria e-coli

TERCEMAR..air Tasik Kenyir disahkan tercemar dengan virus e-coli berikutan pembuangan sisa kumbahan tidak terurus oleh pengusaha rumah bot di Pangkalan Gawi.
TERCEMAR..air Tasik Kenyir disahkan tercemar dengan virus e-coli berikutan pembuangan sisa kumbahan tidak terurus oleh pengusaha rumah bot di Pangkalan Gawi.


HULU TERENGGANU: Air Tasik Kenyir di sini, disahkan dicemari bakteria e-coli serta berada pada tahap membimbangkan berikutan pembuangan sisa kumbahan dan air buangan oleh pengusaha rumah bot yang menjadikan tasik buatan itu sebagai lokasi mencari rezeki.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said berkata, kebanyakan rumah bot menggunakan mangkuk tandas jenis cangkung dengan sistem ‘flushing domestik’ manakala air buangan daripada sinki dapur yang mengandungi minyak masak serta sisa makanan dibuang terus ke dalam tasik.


“Kajian dilakukan Universiti Malaysia Terengganu mendapati berlaku peningkatan bakteria e-coli dalam air di tasik itu dan ia boleh menjejaskan sumber dan hidupan air di situ.

“Berdasarkan hasil kajian itu, kita akan membina tandas dan menyediakan sistem buangan sisa lebih sistematik percuma kepada 37 rumah bot sedia ada serta mewajibkan rumah bot baru menyediakan sistem air buangan sebelum lesen dikeluarkan,” katanya pada sidang media sempena pertandingan memancing Kenyir Cup 2010 di Pangkalan Gawi di sini, semalam.


Pertandingan memancing Kenyir Cup membabitkan 60 peserta dari China dan 20 peserta tempatan diadakan selama tiga hari mulai esok menawarkan hadiah keseluruhan RM50,000.


Hadir sama pada majlis itu Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Hamzah Ngah dan Timbalan Pengarah Tourism Malaysia negeri, Zaini Sulaiman.

Menurutnya, bagi memastikan kualiti air Tasik Kenyir sentiasa bersih, kerajaan negeri memperuntukkan RM103,000 untuk pemasangan tandas dan sistem kumbahan sisa makanan di atas rumah bot terbabit.


Abdul Rahin berkata, pemasangan tandas membabitkan peruntukan RM2,775 setiap unit akan dilakukan mengikut beberapa fasa dan fasa pertama membabitkan 18 rumah bot yang digunakan sempena pertandingan memancing Kenyir Cup nanti.

Menurutnya, dengan pemasangan tandas itu, air kumbahan dan sisa makanan akan disalurkan ke dalam tangki takungan berkapasiti 200 liter.


Beliau berkata, isu pembuangan sisa kumbahan turut dibangkitkan ketika pembentangan kertas kerja bertajuk Tasik Kenyir sebagai destinasi eko-pelancongan pada mesyuarat dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Jun lalu.


“Bagi memastikan flora dan fauna serta hidupan air kekal, perancangan termasuk menyediakan sistem sokongan terutamanya pengurusan sisa kumbahan perlu disediakan agar tidak mengganggu ekosistem sedia ada,” katanya.


Source: Metro






Share/Bookmark


Nak duit lebih? Jom jana pendapatan. KLIK SINI

Next previous home
Related Posts with Thumbnails