19 June 2010

Puasa sunat Rejab, Syaaban persiapan sambut Ramadan

RAMADAN yang bakal menjengah disambut penuh kesyukuran dan tidak kurang ada mengeluh kerana terpaksa berpuasa. Begitulah pelbagai ragam dan situasi yang mewarnai pentas kehidupan umat sempena kedatangan Ramadan penuh berkat.

Bagi umat Islam yang bertakwa, bulan Ramadan disambut penuh kegembiraan sambil menantikan pelbagai keistimewaan serta ganjaran berlipat ganda dijanjikan kepada sesiapa yang menunaikan ibadat puasa dengan ikhlas dan sabar.

Ramadan menuntut setiap Muslim supaya merenung dan bermuhasabah diri untuk melakukan persiapan sebelum, semasa dan selepas Ramadan. Muhasabah penting kerana Ramadan hanya datang sekali setahun.

Oleh itu, biarlah Ramadan kali ini menjanjikan yang terbaik dan setiap Muslim memanfaatkan bulan diberi segala rahmat, kelebihan serta keistimewaan terhimpun sepanjang Ramadan dengan berpuasa pada siang harinya dan beribadat sunat pada malam harinya.

Persediaan pertama wajib dilakukan setiap Muslim ialah persediaan jasmani dan rohani kerana amalan ibadat sepanjang Ramadan berkaitan dengan amalan zahir batin membabitkan penyertaan jasmani dan rohani setiap Muslim.

Rasulullah SAW membuat persediaan menyambut Ramadan dengan berpuasa sunat pada bulan Rejab dan Syaaban. Bulan Rejab adalah permulaan bulan mulia dan bagi orang Mukmin bertakwa, mereka tidak akan melepaskan peluang memanfaatkan kelebihan Rejab dan Syaaban untuk melipatgandakan amalan soleh lebih-lebih lagi ibadat puasa sunat.
Justeru, tidak hairanlah Rasulullah SAW kerap kali berdoa setiap kali datangnya bulan Rejab dengan doa yang bermaksud: “Ya Allah! Berkatilah kami dalam bulan Rejab dan Syaaban ini, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan.”

Begitulah persiapan orang Mukmin yang benar-benar bertakwa dan beristiqamah dalam hidupnya sehingga mereka mempersiapkan diri bukan saja dari sudut fizikal, tetapi juga rohani. Mereka sudah mula membersihkan diri dan hati sebelum menyambut bulan Ramadan.

Seorang ahli hikmat pernah berkata: “Sesungguhnya bulan Rejab adalah bulan untuk memohon ampun daripada segala dosa, bulan Syaaban pula memperbaiki hati daripada segala kecacatan dan Ramadan untuk memberi penerangan hati, sedang malam al-Qadar adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah Taala.”

Selain itu, setiap Muslim juga dituntut mengulangkaji segala persoalan berkaitan masalah ibadat puasa, baik mengenai rukun, syarat, sunat, makruh, adab, faedah, manfaat, rahsia dan hikmah terkandung di dalamnya.
Kesempurnaan ibadat puasa dan penerimaannya di sisi Allah bergantung kepada cara pelaksanaan ibadat itu sama ada berdasarkan sunnah Rasulullah ataupun sebaliknya. Malah, mengetahui cara melakukan ibadat puasa dengan betul antara ciri ketakwaan yang ditegaskan Allah sebagai objektif utama pensyariatan ibadat puasa kepada umat Islam.

Sepanjang berpuasa, setiap Muslim diwajibkan berusaha mengekang diri daripada segala kecenderungan negatif yang boleh mencacatkan kesempurnaan fadilat puasa kerana matlamat utama puasa ialah menahan diri daripada segala runtunan hawa nafsu duniawi baik yang kecil mahupun yang besar.

Seiringan itu, setiap Muslim seharusnya memperbanyakkan amalan salih pada malam harinya dengan amalan sunat seperti solat tarawih, solat witir, solat tahajud, tadarus al-Quran dan iktikaf.

Pada siangnya pula, tertumpu pada ibadat puasa serta tuntutan tanggungjawab lain.

Bukankah Allah menjanjikan pahala satu amalan wajib di bulan Ramadan menyamai 70 amalan wajib pada bulan yang lain dan satu amalan sunat pula menyamai satu amalan wajib pada bulan lain. Sewajarnya umat Islam berebut-rebut untuk mendapatkan ‘tawaran istimewa’ Allah ini.

Ibadat puasa tidak sepatutnya menjadi penghalang bagi seseorang Muslim melakukan kerja sehariannya ikhlas kerana Allah. Perlu ditegaskan sebarang aktiviti dan kerja jika diniatkan ikhlas kerana Allah akan bernilai menjadi satu ibadat.

Sementara semua amalan ibadat akan diberikan Allah ganjaran sehingga ratusan kali ganda. Untuk itu, mengapa perlu disia-siakan detik berharga yang menghiasi sepanjang Ramadan sehingga diisi dengan tidur dan bermalas-malasan sepanjang hari.

Alangkah ruginya manusia yang tidak memanfaatkan kelebihan dan keistimewaan Allah hamparkan sepanjang Ramadan ini.

Rasulullah SAW menganjurkan umatnya supaya menyambut Ramadan dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan supaya Ramadan yang bakal mendatang menjanjikan keberkatan, kerahmatan dan keredaan Ilahi.

Perumpamaan Ramadan samalah seperti kedatangan seorang tetamu besar yang datang bersama buah tangan atau hadiah khas kepada tuan rumah. “Keberkatan” buah tangan itu tentunya hanya diberi kepada tuan rumah yang menyambut kedatangan dengan baik dan ceria, bukan ala kadar saja.




Share/Bookmark


Nak duit lebih? Jom jana pendapatan. KLIK SINI

Next previous home
Related Posts with Thumbnails