19 June 2010

Aznil dipilih ikon Jom Ganyang Aedes


PUTRAJAYA 18 Jun - Selebriti terkenal tanah air, Aznil Nawawi dipilih ikon kempen antidenggi Jom Ganyang Aedes bagi membantu Kementerian Kesihatan mengajak masyarakat negara ini membanteras wabak pembawa maut itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, pelantikan ikon itu kali pertama dilaksanakan memandangkan wabak denggi masih berterusan.

Menurutnya, malah wabak itu meningkat akibat sikap masyarakat yang tidak mengamalkan kebersihan sehingga mengundang pembiakan nyamuk aedes.

Tambah beliau, pemilihan pengacara televisyen dan radio popular itu bertepatan memandangkan Aznil disenangi pelbagai lapisan masyarakat.

"Penglibatan Aznil satu tanggungjawab sosial kepada negara dan diharap mampu menarik minat komuniti khususnya golongan remaja turut sama membanteras denggi.

"Melalui kempen ini, kita mahu rakyat membasmi demam denggi secara serius, konsisten dan bersungguh-sungguh," katanya pada sidang akhbar mengenai pelantikan ikon Aznil bagi tempoh satu tahun di sini hari ini.

Dr. Mohd. Ismail berkata, selain meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap bahaya denggi, ia diharap dapat mengurangkan kes wabak itu di kawasan panas terutama sekitar Lembah Klang, Kuala Lumpur dan Selangor.

"Kempen ini akan berusaha menyedarkan masyarakat tentang kunci utama pencegahan denggi iaitu melalui pengurangan pembiakan aedes di dalam atau di luar rumah.

"Ini kerana semburan kabus atau fogging hanya membunuh nyamuk dewasa dan tidak membunuh jentik-jentik yang lebih bahaya kerana ia akan bertukar menjadi nyamuk dewasa dalam tempoh seminggu," katanya.

Sementara itu, Aznil berkata, beliau terpanggil menyertai kempen tersebut memandangkan wabak itu telah meragut rakan baiknya, Mior Ahmad Fuad Badri atau Din Beramboi pada 1 April lalu yang disahkan akibat denggi berdarah.

"Masalah denggi bukan masalah kerajaan tetapi kita. Kita jangan bertindak hanya setelah ahli keluarga atau rakan terdekat sendiri menjadi mangsa.

"Sudah sampai masanya kita mengambil tanggungjawab dan tidak terlalu bergantung kepada kerajaan dalam usaha membasmi aedes dan mencegahnya dari awal," katanya.

Aznil akan berada di 15 tempat yang dikenal pasti lokasi kawasan panas denggi di sekitar Lembah Klang sepanjang tahun ini untuk bersama-sama komuniti dalam aktiviti gotong-royong mencegah pembiakan aedes.


Source: Utusan





Share/Bookmark


Nak duit lebih? Jom jana pendapatan. KLIK SINI

Next previous home
Related Posts with Thumbnails