Showing posts with label PKR. Show all posts
Showing posts with label PKR. Show all posts

09 November 2010

Zaid Ibrahim: Tarik diri, lepas jawatan


Zaid Ibrahim


KUALA LUMPUR 8 Nov. – Datuk Zaid Ibrahim hari ini menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana kecewa dengan penyelewengan dan penipuan dalam pemilihan parti yang sedang berlangsung.

Beliau yang merupakan pencabar terkuat kepada Azmin Ali iaitu ‘anak emas’ Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi jawatan itu turut melepaskan semua jawatannya dalam PKR walaupun baru satu pertiga cabang parti itu mengadakan pemilihan.

Bagaimanapun, Zaid menegaskan beliau tidak akan meninggalkan pembangkang dan akan terus bercakap serta memperjuangkan isu rakyat bagi memastikan masyarakat mendapat kerajaan yang lebih baik.

Dalam PKR, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu merupakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Pusat dan Pengerusi Perhubungan PKR Wilayah Persekutuan selain bertindak sebagai penyelaras bagi pakatan pembangkang.

“Saya menarik diri sebagai calon daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden. Saya juga melepaskan semua jawatan dalam parti kerana pucuk pimpinan secara aktif membenarkan penyelewengan dan penipuan dalam pemilihan parti berlaku.

“Keputusan ini diambil kerana tiada usaha pucuk pimpinan parti untuk menangani manipulasi; amalan tidak adil serta penyelewengan dalam pemilihan meskipun ia telah dibangkitkan berulang kali,” kata beliau dalam blog http://www.zaiduntukrakyat.com, hari ini.

Dakwaan penyelewengan dalam pemilihan PKR semakin bertiup kencang apabila beberapa kali keputusan pengundian yang sebelum ini menunjukkan Zaid mendahului Azmin terpaksa diubah oleh Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail atas alasan silap kiraan.

Kemudian, seorang lagi calon Timbalan Presiden, Mustaffa Kamil Ayub, juga mendesak supaya Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) digantung dan proses pemilihan parti ditangguh sehingga tindakan proaktif diambil bagi membaiki segala penyelewengan.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi daripada 87 cabang yang telah mengadakan pemilihan, Azmin kini jauh mendahului dengan majoriti 2,620 undi selepas mengumpul 6,525 undi, Zaid mendapat 3,905 undi manakala Mustaffa pula sekadar meraih 1,215 undi.

Mengulas lanjut, Zaid berkata, beliau tidak boleh meneruskan perjuangan dalam pemilihan yang cacat kerana yakin, parti politik yang mengamalkan nilai-nilai palsu dan hipokrit tidak mampu menawarkan sebarang pembaharuan bermakna kepada rakyat.

“Saya menyertai PKR atas kepercayaan saya boleh mengembangkan budaya politik berprinsip yang saya anggap dapat membangunkan demokrasi dan tadbir urus yang baik di negara ini, tetapi saya sebenarnya tersilap.

“Saya berharap peminat Anwar tidak lagi menganggap saya sebagai ‘spoiler’ (pengacau) yang akan menghalang usaha mereka ke Putrajaya. Saya ucapkan maju jaya kepada mereka,” katanya.


Source: Utusan





Share/Bookmark


Nak duit lebih? Jom jana pendapatan. KLIK SINI

04 November 2010

KEPUTUSAN RASMI: Batu Sapi, Galas milik BN

Barisan Nasional hari ini berjaya mempertahankan kerusi parlimen Batu Sapi miliknya manakala di Galas, mereka berjaya merampas kerusi Galas dari PAS.

Di Batu Sapi, calon BN dari parti PBS, Datin Linda Tsen mendapat 9,773 undi dan berjaya mengekalkan kerusi yang dimilik mendiang suaminya, Datuk Edmund Chong.


Calon SAPP yang juga presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee hanya mendapat 2,013 manakala calon PKR, Ansari Abdullah pula mendapat 3,414 undi.

Majoriti yang diperolehi oleh BN adalah 6,359 undi.

Keputusan kali ini mencerminkan perkembangan yang hampir sama pada pilihan raya umun 2008 yang lalu. Pada pilihan raya itu, suami Tsen, mendiang Edmund Chong mendapat 9,479 undi berbanding calon Bebas, Chong Kwong Ming, 5,771.


Pada pilihan raya kali ini, jika jumlah undi pembangkang - SAPP dan PKR digabungkan, jumlahnya adalah 5,288 dan masih tidak mampu mencabar kedudukan BN.

Meskipun kemenangan Tsen bukan sesuatu yang memeranjatkan, tetapi dakwaan PKR bahawa ia mampu memberi saingan lebih baik berbanding SAPP ternyata betul.

Namun, sekalipun jika ia pertandingan satu lawan satu, Pakatan Rakyat memerlukan strategi yang lebih mantap sebelum berangan-angan untuk ke Putrajaya.

Manakala itu bagi kerusi Galas pula, BN menang dengan majoriti 1,190 undi.

PAS hanya mampu mendapat 4,134 undi, berbanding BN yang mengaut 5,324 undi.

Terdapat 132 undi rosak pada pilihan raya kali ini.

Jumlah yang keluar mengundi hari ini ialah 83 peratus atau 9,555 orang.

Pada pilihan raya ini BN diwakili oleh Abdul Aziz Yusof manakala PAS meletakkan Dr Zulkefli Mohamad sebagai calonnya.

Kerusi Galas memang sukar diramal sejak hari pertama kempen bermula. Pada pilihan raya umum 2008 yang lalu, calon PAS berjaya merampas kerusi itu melalui Allahyarham Chek Hashim Sulaima dengan hanya majoriti 646 undi.

Strategi BN meletakkan pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah ternyata tepat dan memberi kesan maksimum.

Putera raja yang juga adalah ahli parlimen Gua Musang, di mana kerusi Galas terletak dikatakan masih disanjung oleh masyarakat di Kelantan, termasuk di kalangan Orang Asli yang merupakan kira-kira 16 peratus daripada jumlah pengundi.

Selain itu, strategi BN mempolitikkan kempen 1Malaysia di kalangan masyarakat Cina juga dikatakan berjaya mencuri tumpuan masyarakat itu. Bilangan pengundi masyarakat Cina dikatakan memihak semula kepada BN walaupun jumlah itu tidak menyeluruh.


Source: Malaysiakini





Share/Bookmark


Nak duit lebih? Jom jana pendapatan. KLIK SINI

Rentetan Peristiwa Pengundian di Batu Sapi Hari Ini

Batu Sapi kekal milik BN - Keputusan rasmi dijangka pukul 8 malam


7.12pm: Calon BN, Datin Linda Tsen dilaporkan tiba di rumah tetamu Ketua Menteri, Sabah, Datuk Seri Musa Aman di Sandakan. Beliau diberi tepukan gemuruh daripada penyokong.

Setiap kali saluran yang dikira memihak BN, tepukan gemuruh bergema daripada skrin besar yang dipasang.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Musa sedang makan malam dan dijadualkan ke pusat penjumlahan undi di Dewan Masyarakat Sandakan, selepas itu.

6.55pm: Calon PKR Ansari Abdullah tiba di pusat penjumlahan undi dengan diiringi sekumpulan kecil penyokong.

Presiden SAPP yang juga calon parti itu, Datuk Yong Teck Lee tiba beberapa minit kemudian dan diikuti oleh pegawai SPR yang membawa kotak undi dari 12 pusat pengundian untuk dijumlahkan.

Keputusan tidak rasmi

6.47pm

Linda Tsen (BN-PBS) -5,051
Yong Teck Lee (SAPP) - 1,018
Ansari Abdullah (PKR) - 1,709
Undi rosak votes - 420
Majoriti -3,342

(Jumlah keluar mengundi:15,774)

6.45pm:

Linda Tsen (BN-PBS) - 3,226
Yong Teck Lee (SAPP) - 814
Ansari Abdullah (PKR) -1,269
Undi rosak - 420

6.40pm:

Linda Tsen (BN-PBS) - 2614
Yong Teck Lee (SAPP) - 622
Ansari Abdullah (PKR) -931
Undi rosak - 410

6.34pm:

Linda Tsen (BN-PBS) - 1496
Yong Teck Lee (SAPP) - 422
Ansari Abdullah (PKR) -752
Undi rosak - 394

6.30pm: (3 saluran)

Linda Tsen (BN-PBS) - 514
Yong Teck Lee (SAPP) - 156
Ansari Abdullah (PKR) - 208

6.25pm: (2 saluran)

Linda Tsen (BN-PBS) - 266
Yong Teck Lee (SAPP) - 94
Ansari Abdullah (PKR) - 177

5.28pm: Keputusan tidak rasmi

Tronglit (pusat pengundi majoriti Bumiputera Islam) yang berakhir jam 3 petang:

Saluran 1:
Linda Tsen - 153
Yong Teck Lee - 14
Ansari Abdullah - 4

5.15pm: SPR mengesahkan seramai 15,774 orang atau 61.47 peratus daripada 25,582 pemilih berdaftar telah mengundi dalam pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Batu Sapi hari ini selepas pengundian selesai.

Ia hampir sama dengan 61.45 peratus yang keluar mengundi di kawasan itu dalam pilihan raya umum 2008.

5.00pm: Semua pusat pengundian ditutup.

4.15pm: Sejumlah 14,725 pengundi atau 57.56 peratus telah mengundi, kata SPR.

4.00pm: Pusat pengundian di SK Segaliud pula, yang mempunyai 785 pengundi ditutup, manakala yang lainnya akan ditutup pada jam 5 petang.

3.00pm: Pengiraan undi di SK Tronglit di Pulau Timbang, satu daripada 12 pusat mengundi dalam pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Batu Sapi hari ini, sedang dijalankan sebaik pengundian melibatkan 984 pemilih berakhir.

Pegawai pengurus pilihan raya, Mohamad Hamsan Awang Supain, memberitahu bahawa apabila pengiraan selesai, undi itu akan dibawa dengan bot ke pusat penjumlahan undi di Dewan Orang Ramai Sandakan.

Dengan berbaki dua jam lagi, jumlah yang keluar mengundi dilaporkan masih rendah. Perangkaan rasmi SPR menunjukkan jumlah yang keluar mengundi setakat ini adalah 52.06 peratus atau 13,318 undi.

2.00pm: Jumlah pengundian kini adalah 46.42 peratus atau 11,876 orang.

Proses membuang undi pada pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi berjalan lancar setakat ini, namun jumlah pengundi yang menunaikan kewajipan mereka masih kecil, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof

"Diharapkan lebih ramai akan keluar mengundi selepas ini bagi mencapai sasaran 75 peratus," katanya.

Menurut Abdul Aziz, waktu pagi didominasi pemilih warga emas, manakala jumlah pengundi muda yang membuang undi hanya meningkat selepas 11 pagi.

1.45pm: Jumlah pengundi yang keluar dalam pilihan raya kecil parlimen Batu Sapi setakat jam 1 tengahari ialah 41.06 peratus atau 10,505 orang.

12.40pm: Lebih kurang 100 penyokong BN di luar sebuah lagi pusat pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Sapi - kawasan yang majoriti pengundinya bumiputera - masih lagi menunggu.

Mereka membawa sepanduk Tsen dan Najib sambil melaungkan “Hidup BN!” Namun penyokong PKR yang diketuai oleh exco Wanita Felicia Ling yang membawa sepanduk Ansari tidak memberi tindakbalas dan suasana dilaporkan tenang. Tiada ketegangan di antara kedua-dua kumpulan.

12.00pm: Seramai 9,261 pemilih atau 36.2 peratus telah keluar mengundi pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Batu Sapi, kata Suruhanjaya Pilihan Raya.

11.10am: Datuk Yong Teck Lee tiba dan bersalaman dengan pekerja SPR dan juga pengundi.

Bekas ketua menteri itu juga kelihatan tenang dan ceria.

Katanya, jumlah yang keluar undi sebanyak 23 peratus setakat jam 10 pagi tadi dianggap perkara biasa.

"Jumlah peratus yang tinggi akan beri saya keutamaan yang lebih.”

Menurut Yong lebih ramai pengundi yang berusia keluar melaksanakan tanggungjawab mereka berbanding pengundi muda.

Yong berjumpa dengan ketua MCA Sabah, Edward Khoo. Mereka kelihatan mengadakan perbualan yang mesra dalam dialek Hakka.

11.00am: Jumlah yang keluar mengundi setakat ini adalah 28.59 peratus atau 7,313 orang.

10.55am: Hujan renyai-renyai di sekitar pusat pengundian SMK Agama - pekerja dan penyokong parti masing-masing berlari mencari tempat teduh.

Hujan berhenti kira-kira 10 minit kemudian tetapi awan gelas masih kelihatan menunjukkkan tanda-tanda hujan lebat tidak lama lagi.

10.24am: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula tiba dengan diiringi oleh Ketua Menteri, Sabah, Datuk Seri Musa Aman, di SMK Agama.

Beliau bergegas meninggalkan pusat itu dan dijadual mengadakan sidang media di ibu pejabat polis di Sandakan pada jam 1 petang nanti.

10.29am: Jumlah keluar mengundi sehingga jam 10 pagi adalah 23.05 peratus atau 5,897 orang.

10.03am: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof tiba di SMK Agama di Taman Mawar dengan pegawainya untuk memantau perkembangan di pusat pengundian.

Beliau berkata proses pengundian dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi dan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Galas agak "perlahan" dalam tempoh satu jam pertama.

Bagaimanapun, katanya, beliau berpuas hati dengan perjalanan proses pengundian setakat ini dan berharap jumlah mereka yang keluar mengundi meningkat pada tengah hari dan petang.

9.56am: Calon BN Datin Linda Tsen Thau Lin tiba di perhentian pertamanya diSMK Agama di Taman Mawar, dengan diiringi naib presiden PBS, Dr Yee Moh Chai dan ADUN Sekong Samsudin Yahya.

Dengan tenang, Tsen yang dikerumuni wartawan berkata dia berpuas hati dengan jumlah pengundi yang keluar.

"Ini membawa balik kenangan lama apabila saya mengiringi mendiang suami saya melawat pusat pengundian,” katanya.

9.47am: Menurut SPR, peratus yang telah keluar mengundi setakat jam 9 pagi adalah 14.68 peratus (3,756 undi).

9.36am: Di SJK(C) Cheng Min dan SK Bandar Sandakan, dua pusat pengundian majoriti masyarakat Cina yang terletak bersebelahan di atas bukit di bandar Sandakan, jumlah yang keluar mengundi dilaporkan amat memberangsangkan.

Bas mini tidak putus-putus datang menghantar pengundi ke pusat pengundian di khaki bukit berkenaan. Kira-kira 30 pekerja BN terus berada di sana sambil disaksikan oleh sekumpulan kecil penyokong PKR. Tiada lagi perlumbaan menjerit slogan ke arah satu sama lain.

9.24am: Presiden Sapp yang juga calon Batu Sapi, Datuk Yong Teck Lee berkata beliau optimistik dengan peluangnya pada pilihan raya hari ini.

"Keputusan dijangka sengit tapi saya yakin (akan menang).”

Yong membidas BN dan Pakatan Rakyat yang didakwanya menakut-nakutkan pengundi dengan jerita slogan mereka serta kibaran bendera parti.

"Ini bukan budaya di sini. Jika pengundi dijerit, ini akan menakutkan mereka,” katanya.

9.06am: Penyokong BN dan Pakatan Rakyat mula melaungkan slogan masing-masing sambil mengibarkan bendera parti serta sepanduk calon masing-masing di sepanjang jalan menuju ke pusat pengundian di SMK Agama di kawasan majoriti Cina, Taman Mawar.

Laungan "Hidup Rakyat!" oleh penyokong PKR ditenggelamkan oleh penyokong BN yang membalas dengan teriakan "Hidup BN!" dan "Siapa yang bawa pembangunan? BN!".

8.55am: Berlaku kesesakan jalan raya di sepanjang Jalan Batu Sapi, menuju ke pusat pengundian. Ia akibat kenderaan termasuk bas mini yang digunakan bagi menurunkan pengundi. Pihak polis sibuk mengarahkan lalu lintas di beberapa persimpangan tetapi keadaan masih belum pulih.

8.41am: Yong Teck Lee tiba kawasan pengundian pertama di SMK Agama Taman Mawar. Beliau, seperti pencabarnya Linda Tsen Thau Lin dan and Ansari Abdullah, bukan pemilih di kawasan tersebut.

8.15am: Di SMK Agama Sandakan di Taman Mawar - salah satu pusat pengundian terbesar - hanya beberapa orang sahaja yang turun mengundi. Ia merupakan kawasan majoriti Cina.

8.00am: Cuaca baik mengiringi pemilih bagi membuat keputusan di 12 pusat pembuangan undi DUN bawah parlimen Sandakan, Sabah.

Kesesakan jalan raya mula berlaku di depan pusat pengundian SMK agama di Taman Mawar apabila pemilih bula bergerak.

Bagi DUN ini, berlaku pertembungan tiga penjuru antara calob Linda Tsen Thau Lin (BN), Yong Teck Lee (SAPP) dan Ansari Abdullah (PKR)

Daripada 12 pusat pengundian, dua akan ditutup lebih awal - satu pada jam 3 petang dan satu lagi pada jam 4 petang - disebabkan jumlah pemilih yang kecil di kawasan tersebut. Semua peti undi lain ditutup pada jam 5 petang.

Sebelas sekolah dipilih sebagai tempat pengundian manakala sebuah lagi perpustakaan daerah digunakan.

Seramai 24,047 pemilih biasa dijangka mengundi hari ini setelah pengundian pos diadakan pada Selasa dan semalam.

SPR dijangka mengumumkan keputusan pilihan raya kecil Batu Sapi pada jam 8 malam dengan penjumlahan undi dilakukan di Dewan Masyarakat Sandakan.

Batu Sapi mempunyai 25,582 pengundi, di mana 15,099 atau 59.02 peratus adalah Bumiputera Islam, 689 atau 2.69 peratus adalah Bumiputera bukan Islam, 9,737 atau 38.06 peratus ialah pengundi Cina dan 57 atau 0.22 pengundi kaum lain.

Kerusi Parlimen Batu Sapi kosong berikutan kematian penyandangnya daripada BN, Datuk Edmund Chong Ket Wah dalam kemalangan jalan raya pada 9 Oktober lalu.


Source: Malaysiakini




Share/Bookmark


Nak duit lebih? Jom jana pendapatan. KLIK SINI

previous home
Related Posts with Thumbnails