03 November 2010

TERKINI: Lebih 36,000 dipindah akibat banjir

Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di Kedah, Perlis dan Kelantan mencecah 36,000 dengan beberapa jalan utama ditutup kerana ditenggelami air.

Mangsa banjir di Kedah merupakan yang teramai dipindahkan, iaitu 25,000 orang, 11,411 penduduk di Perlis dan 475 lagi di Kelantan.

Di Kedah, mangsa banjir daripada 6,415 keluarga di empat daerah di Kedah dipindahkan ke pusat penempatan banjir berikutan keadaan banjir semakin teruk sejak dua hari lepas.

Daripada jumlah itu, 15,613 penduduk daripada 4,178 keluarga adalah dari daerah Kubang Pasu, 3,105 mangsa daripada 801 keluarga (Padang Terap), 5,331 penduduk daripada 1,202 keluarga (Kota Setar) dan 1,039 penduduk daripada 234 keluarga di Pokok Sena.

Jurucakap bilik gerakan Majlis Keselamatan Negara berkata sebanyak 94 pusat penempatan mangsa banjir dibuka di keempat-empat daerah dan daripada jumlah itu, 45 di Kubang Pasu, 35 di Padang Terap, lima di Pokok Sena serta sembilan di Kota Setar.

Sementara itu, beliau berkata 803 orang mangsa banjir daripada 183 keluarga di Padang Terap telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing kira-kira pukul 1 tengah hari ini.

Antara kampung yang dilanda banjir di Kubang Pasu ialah, Kampung Changkat Setoi, Paya Lantau, Malau, pekan Changlun, Jitra dan Kodiang. Bacaan paras air sungai Bata melepasi paras bahaya iaitu 9.58 meter (paras bahaya 9.14m).

Tinjauan Bernama di daerah Kota Setar mendapati air semakin naik sehingga 0.7 meter walaupun hujan telah berhenti kerana aliran air dari daerah Padang Terap.

Sementara itu senarai jalan yang ditutup adalah seperti berikut:

KOTA SETAR
1. Jalan Pantai Johor – Gunung Keriang
2. Jalan Kuala Sungai – Sungai Baru
3. Jalan Alor Setar – Kepala Batas
4. Jalan Kepala Batas – Bukit Pinang
5. Jalan Hutan Kampung – Kepala Batas
6. Lebuhraya Darulaman (beberapa bahagian)

POKOK SENA
1. Jalan Lengkuas – Derang
2. Jalan Derang – Batu 11 Pokok Sena

KUBANG PASU
1. Jalan Tanah Merah – Wang Tepus
2. Jalan Kepala Batas – Kemunting
3. Jalan Jitra – Sungai Korok
4. Jalan Tunjang – Teluk Malek
5. Jalan Teluk Malek – Kampung Naga
6. Jalan Jitra – Bukit Wang
7. Jalan Napoh – Wang Tepus
8. Jalan Changlun – Kodiang
9. Km 10.2 hingga Km28 Lebuhraya Utara Selatan

PADANG TERAP
1. Jalan Kampung Kubu – Simpang Nai Teh
2. Simpang Nai Teh – Kampung Tengah
3. Jalan Kuala Nerang – Kampung Tanjung
4. Jalan Kampung Tanjung – Puncak Janing
5. Jalan Kuala Nerang – Durian Burung
6. Jalan Batu 19 Kuala Nerang – Kampung Rambuntan
7. Jalan Masjid Kuala Nerang – Kampung Rambutan
8. Jalan K. Nerang – Barokhas
9. Jalan Kampung Tanjung – Tok Pelu

Sementara itu di Perlis, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan di seluruh negeri itu meningkat kepada 11,411 orang daripada 2,301 keluarga.

Angka itu meningkat hampir sekali ganda berbanding jumlah yang dicatatkan pada sebelah pagi.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis berkata, mereka ditempatkan di kira-kira 50 pusat pemindahan.

Menurutnya, walaupun beberapa kawasan di utara Perlis telah mulai surut dan 1,162 mangsa telah dibenarkan pulang petang ini, namun jumlah keseluruhan yang masih berada di pusat-pusat pemindahan adalah sebanyak 11,411 orang.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu menasihati mangsa-mangsa banjir supaya mengutamakan kesihatan dan meminum air bersih.

Katanya, bencana itu membabitkan banyak mangsa dan mereka terdedah dengan ancaman penyakit jika tidak berhati-hati.

Mengenai rungutan penduduk bahawa bekalan elektrik dipotong oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) di beberapa kawasan, Md Isa berkata, ia dilakukan demi keselamatan penduduk di kawasan banjir.

"Tiada pilih kasih. Rumah saya pun kena potong bekalan elektrik pada sebelah pagi," katanya.

Di Kelantan pula, mangsa banjir yang dipindahkan di Rantau Panjang pada sebelah petang ini sehingga jam 4 sedikit bertambah kepada seramai 475 orang berikutan limpahan air Sungai Golok.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Pasir Mas berkata sebuah lagi pusat pemindahan baru dibuka pada pukul 11 pagi ini iaitu di Sekolah Kebangsaan Tok Deh, Rantau Panjang yang menempatkan seramai 23 penduduk sekitar Kampung Tok Deh dan Kampung Che Daah.

"Di stesen keretapi lama mangsa yang ditempatkan di situ masih kekal seramai 410 orang yang terdiri daripada penduduk Kampung Kedai Lama, Kedap dan Kampung Dangar, manakala 42 penduduk lagi dipindahkan di Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi yang terdiri daripada penduduk Kampung Banggol Kulim dan Bandang Guchil," katanya kepada Bernama.

Pada sebelah pagi terdapat seramai 452 mangsa banjir yang dipindahkan di stesen keretapi lama dan Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi itu.

Beliau berkata paras air Sungai Golok di situ pada bacaan pukul 4 petang surut sedikit iaitu 10.12 meter, tetapi masih melebihi paras bahaya 9 meter.

Jurucakap itu berkata tiada jalan utama yang menghubungkan negeri ini ditutup melainkan dua jalan alternatif ke Jeli dari Rantau Panjang yang masih ditutup kepada kenderaan ringan iaitu di Lalang Pepuyu dan Lubok Stol.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku akibat banjir di jajahan itu.

Di Zon Bebas Cukai di pekan Rantau Panjang juga dilaporkan banyak premis masih ditutup berikutan kawasan itu yang terletak bersebelahan Sungai Golok masih digenangi air.

Cuaca di Kelantan pada pagi dan sebelah petang ini mendung tetapi tiada hujan dilaporkan.


Source: Malaysiakini


P/S: Harap-harap banjir cepat surut la.... Semoga tak timbul pula banyak penyakit lepas banjir




Share/Bookmark


Nak duit lebih? Jom jana pendapatan. KLIK SINI

Next previous home
Related Posts with Thumbnails