29 June 2010

Maya berdiam diri isu rumah tangga



Aktres terkenal, Maya Karin, 31, mengambil sikap berdiam diri berhubung dakwaan suaminya, Muhammad Ali Abdullah, 40, kononnya mereka akan bercerai.

“Saya tidak mahu komen kenyataan suami seperti yang disiarkan di sebuah laman web berita semalam.

“Berdiam diri adalah cara terbaik untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan. Saya okay... Apa yang berlaku tidak sesekali melemahkan semangat, malah saya sentiasa memastikan soal peribadi tidak menjejaskan kerjaya seni.” katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Semalam, sebuah laman web berita menyiarkan kenyataan Muhammad Ali yang mengesahkan beliau dan isterinya akan bercerai.

“Kami akan bercerai. Apabila saya umumkan tiada perceraian semalam (kelmarin), saya maksudkan kami tidak bercerai semalam (kelmarin). Tetapi, apa yang pasti kami akan berpisah,” katanya dipetik dari laman web itu.

Muhammad Ali dilaporkan berkata, permohonan perceraian akan dilakukan tidak lama lagi selepas pengesahan pernikahan beliau dan isterinya, selesai.
“Tiada keputusan dicapai semalam (kelmarin), tetapi saya yakin, semua akan berakhir dua minggu lagi,” katanya.
Muhammad Ali yang bertugas sebagai guru di sebuah sekolah antarabangsa di sini, bernikah dengan Maya di Itali, dua tahun lalu. Tetapi pasangan ini masih belum mendaftarkan pernikahan mereka di Malaysia.

Maya berkata, beliau tidak mahu memikirkan soal peribadi hingga menjejaskan kerjayanya.

“Saya juga tidak mahu terlalu manjakan diri dengan memikirkan persoalan yang belum selesai. Apa yang penting adalah kerjaya saya,” katanya yang sibuk dengan persiapan untuk ke lokasi dua filem terbarunya yang dirahsiakan judulnya.

“Ketepikan soal peribadi kerana ada banyak tugasan penting yang harus saya selesaikan,” kata Aktres Terbaik Festival Filem Asia Pasifik Ke-49 itu.

Maya dan Muhammad Ali bernikah pada 14 Ogos 2008 dan melangsungkan perkahwinan di tepi Tasik Como, Bellagio, Itali disusuli majlis resepsi di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong, pada 26 Ogos tahun sama selepas tujuh tahun bercinta.

Kelmarin, Maya dan Muhammad Ali hadir di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini bagi memohon pengesahan pernikahan mereka. Tetapi kedua-duanya enggan memberi sebarang ulasan ketika ditemui pemberita.



Source: Berita Harian




Share/Bookmark


Nak duit lebih? Jom jana pendapatan. KLIK SINI

Next previous home
Related Posts with Thumbnails