14 June 2010

Kes Badrul Muhayat cederakan isteri disebut semula 28 Jun

KUALA LUMPUR 14 Jun – Kes pelakon dan bekas model, Badrul Muhayat Ahmad Jailani, yang menghadapi dua pertuduhan mencederakan isterinya, akan disebut semula di Mahkamah Majistret Ampang di sini, 28 Jun ini.

Majistret Wan Karimah Wan Abdul Ghani menetapkan tarikh itu selepas dimaklum oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Husnita Mohd. Radzi bahawa pendakwaan belum memperoleh kertas siasatan daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi mengetahui sama ada pertuduhan kedua terhadap pelakon itu perlu dipinda.

Nor Husnita berkata, pihaknya juga tidak menerima sebarang arahan berkaitan pindaan bagi pertuduhan kedua itu.

Pada 6 April lalu, Badrul Muhayat, 42, yang diwakili peguam Abdul Rashid Tasin mengaku tidak bersalah menumbuk muka dan menendang perut Julia Daud, 29, di rumah mereka di Kampung Cheras Baru, Hulu Langat, pada 7 pagi, 24 Mac lepas.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memukul punggung dan kaki Julia dengan batang penyapu pada waktu dan di tempat yang sama.

Pelakon tersebut didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun dan denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – Bernama


Source: Utusan





Share/Bookmark


Nak duit lebih? Jom jana pendapatan. KLIK SINI

Next previous home
Related Posts with Thumbnails